Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, Shah Alam Selangor telah dinobatkan sebagai pemenang Pertandingan Sekolahku Hebat sempena Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2024 sekali gus berjaya meraih wang tunai berjumlah RM5,000 dan televisyen android bersaiz 65 inci.
Pustakawan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Norkhairul Nizam M Sadon berkata, penganugerahan pertandingan itu dibuat selepas sekolah menengah tersebut berjaya menghantar rombongan pelajar seramai 352 orang dan mencatat jumlah tertinggi daripada 125 kategori sekolah menengah seluruh Selangor.
"Pertandingan dan anugerah ini adalah usaha daripada pihak PPAS sendiri dengan menjadikan idea asal daripada Karangkraf yang pernah menjalankan pertandingan sama ketika karnival.
"Ia juga merupakan kali pertama kami laksanakan pertandingan sebegini bagi menarik lebih ramai pelajar dan murid terutamanya di Selangor untuk hadir ke SIBF,” katanya.
Norkhairul berkata, Pertandingan Sekolahku Hebat ini juga akan diteruskan untuk tahun-tahun berikutnya dengan memerluaskan kategori pemenang dan jumlah hadiah yang bakal diberikan.
"Insya-ALLAH, pertandingan ini akan diteruskan untuk tahun depan.
"Jumlah wang tunai akan dinaikkan kepada RM10,000, RM7,000 dan RM5,000 untuk kategori pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga.
"Ia agar lebih banyak sekolah yang bakal mendapat manfaatnya,” katanya.