Apa kita boleh buat untuk halang 'scammer'?

Iklan
Penipu dalam talian mula membina hubungan emosi dengan mangsa sebelum meminta wang untuk kecemasan atau kos perjalanan. Gambar kecil: Mohd Khairi.

Jenayah penipuan dalam talian di Malaysia mengalami kadar peningkatan serius, dengan jumlah kerugian yang amat mengejutkan.

Sejak Januari hingga 22 September lalu, kerugian akibat jenayah komersial termasuk penipuan dalam talian telah mencecah RM1.78 bilion.

Iklan
Iklan

Ini bermakna penipu atau scammer berjaya mengaut lebih daripada RM6 juta sehari, yang merupakan peningkatan sebanyak 24 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.

Fenomena ini menunjukkan betapa seriusnya masalah jenayah dalam talian di Malaysia, terutama melalui platform media sosial, yang kini menjadi alat utama bagi scammer untuk menipu mangsa.

Iklan

Masyarakat seharusnya diingatkan untuk lebih berhati-hati dan berwaspada terhadap penipuan ini yang semakin berleluasa.

Antara penipuan yang paling kerap berlaku di Malaysia adalah penipuan menerusi panggilan telefon, yang sering dirujuk sebagai Macau scams.

Iklan

Dalam skim ini, penipu menyamar sebagai pegawai agensi kerajaan, bank atau pihak berkuasa untuk menuduh mangsa terlibat dalam jenayah seperti pengubahan wang haram atau cukai tertunggak. Mangsa kemudian dipaksa memindahkan sejumlah wang untuk 'menyelesaikan masalah' berkenaan.

Begitu juga, penipuan pembelian dalam talian semakin meningkat, di mana penjual palsu mengiklankan produk yang tidak wujud di platform e-dagang atau media sosial dan menyebabkan mangsa kehilangan wang tanpa menerima barangan.

Selain itu, bentuk penipuan yang biasa ialah penipuan pelaburan, di mana scammer menawarkan kepada mangsa pulangan tinggi dan risiko yang rendah. Sering beroperasi menggunakan skim piramid atau Ponzi, skim ini akhirnya runtuh dan menyebabkan pelabur mengalami kerugian.

Romance scams juga wujud dengan meluas di mana ia menyasarkan individu melalui profil palsu di platform temu janji atau media sosial.

Scammer mula membina hubungan emosi dengan mangsa sebelum meminta wang untuk kecemasan atau kos perjalanan.

Serupa dengan itu, skim penipuan pekerjaan atau job scams pula menyasarkan pencari kerja dengan tawaran pekerjaan yang menarik tetapi memerlukan bayaran awal untuk pemprosesan, latihan, atau perjalanan. Akhirnya, mangsa mendapati pekerjaan yang dijanjikan adalah tidak wujud.

Scammer juga memanipulasi urusan logistik melalui penipuan penghantaran bungkusan, di mana mangsa diberitahu bahawa mereka mempunyai bungkusan yang memerlukan bayaran cukai atau yuran tetapi tiada penghantaran yang dilakukan.

Selain itu, penipuan pancingan data turut menjadi ancaman kepada masyarakat pada hari ini. Ia melibatkan e-mail atau mesej palsu yang menyerupai organisasi sah untuk mencuri maklumat sensitif, yang sering membawa kepada kecurian identiti atau kerugian kewangan.

Selain itu, penipuan media sosial dan SMS pula mendapatkan mangsa dengan notifikasi hadiah palsu atau pautan berniat jahat yang mengumpul data peribadi atau mengarahkan ke laman web palsu.

Untuk memerangi semua jenis penipuan (scam) ini, masyarakat perlu lebih peka terhadap keselamatan siber untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan atau ancaman dalam talian.

Antara langkah yang boleh diambil adalah dengan meningkatkan pendidikan dan kesedaran mengenai keselamatan siber melalui program latihan, seminar dan kempen awam di media massa serta platform media sosial.

Selain itu, penggunaan kata laluan yang kuat dan unik serta pengaktifan autentikasi dua faktor adalah berkesan untuk melindungi akaun penting. Masyarakat juga digalakkan untuk berhati-hati dalam berkongsi maklumat peribadi, memastikan semua perisian dan aplikasi dikemas kini secara berkala, serta menggunakan perisian antivirus yang berkualiti bagi mengelakkan pencerobohan.

Di tempat kerja, polisi keselamatan siber yang jelas dan latihan berkala untuk pekerja dapat membantu mengurangkan risiko serangan siber.

Di samping itu, pemeriksaan akaun bank dan aktiviti kewangan secara berkala serta pengaktifan notifikasi untuk transaksi kewangan boleh membantu mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.

Keselamatan media sosial juga perlu ditingkatkan dengan mengutamakan privasi akaun dan mengelakkan interaksi dengan individu yang tidak dikenali. Bagi memastikan keselamatan semasa menggunakan internet, elakkan rangkaian Wi-Fi awam untuk urusan sensitif melainkan menggunakan rangkaian persendirian maya (VPN) dan pastikan Wi-Fi rumah dilindungi dengan enkripsi yang selamat.

Sekiranya menghadapi atau mengesyaki sebarang ancaman siber, masyarakat disarankan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atau polis agar tindakan segera dapat diambil.

Maklumat Penulis:

Felo Penyelidik Pasca Kedoktoran, Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya, Mohd Khairi Ismail. Beliau juga merupakan pensyarah Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi Mara Cawangan Terengganu

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my