Pengetua, guru besar dan pengurusan sekolah jangan sembunyi kes buli - Fadhlina

Iklan
Fadhlina (kanan) ketika sidang media khas pengoperasian peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di kementeriannya pada Khamis. Turut kelihatan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Ruji Ubi.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi amaran kepada pengetua, guru besar dan pengurusan yang cuba menyembunyikan kes buli di sekolah. Tegas Menterinya Fadhlina Sidek, pihak kementerian tidak akan berkompromi dan sentiasa mengambil serius terhadap semua aduan baik ibu bapa, sekolah atau pun anak itu sendiri.

"Saya ingin mengatakan kepada sekolah khususnya pengetua, guru besar dan guru-guru pentadbiran supaya jangan rahsiakan kejadian ini," kata beliau menerusi sidang akhbar khas Pengoperasian Peperiksaan SPM di sini pada Isnin.

Ujarnya, pengetua dan pihak sekolah juga tidak wajar mempersoalkan tindakan ibu bapa yang ingin membuat aduan buli.

"Kenapa pula dia (pengetua) persoalkan? Saya ingat itu hak ibu bapa kalau merasakan bahawa anak mereka tidak mendapat keadilan dalam konteks siasatan dan aduan.

"Maknanya ibu bapa berhak melanjutkan aduan tersebut ke peringkat tertinggi termasuk pihak berkuasa dan KPM sendiri," jelas Fadhlina.

Menurut beliau, selain melaporkan kepada polis dan sekolah, aduan buli boleh disalurkan ibu bapa menerusi portal Aduan Buli yang disediakan KPM."Semua proses yang terkait rapat dengan buli mestilah melalui prosedur yang telah pun ditetapkan.

"Kita mohon untuk aduan ini dibuat di bawah portal ini yang mana ia lebih jelas kerana KPM akan maklumkan terus kepada pengadu apa tindakan-tindakan yang telah kita ambil,” tambahnya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan terdapat geng gelap yang digelar 6 Jahanam, 7 Malaikat Maut, 6 Azazil bertindak mengenakan denda keterlaluan terhadap pelajar junior antaranya dipaksa bogel dan perlu melakukan aksi comando rest.

Bapa kepada mangsa buli turut mendakwa pengetua mempersoalkan tindakannya untuk membuat surat aduan berhubung perkara itu.

Sementara itu, Fadhlina berkata, pihaknya sedang menyiasat perkara tersebut.

"Dalam siasatan kita," kata beliau.