Mampukah generasi kini membangunkan negara?

Iklan
Media sosial mempengaruhi generasi muda dalam mereka membuat pilihan sama ada untuk melanjutkan pelajaran atau tidak. Gambar kecil, Nur Balqis (atas) dan Jaharudin (bawah).

Setiap negara mempunyai rakyat yang berpotensi membangunkan dan mengharumkan nama negara di pelosok dunia.

Begitu juga dengan generasi muda yang menjadi tonggak utama dalam pembangunan negara.

Iklan
Iklan

Golongan muda bertanggungjawab dalam mewarisi tompok pemerintahan dan pembangunan negara pada masa hadapan.

Oleh hal yang demikian, generasi muda haruslah diberi kesedaran supaya mereka memahami peranannya dalam memajukan ekonomi dan pembangunan negara.

Iklan

Pembangunan negara ini merangkumi aspek-aspek seperti ekonomi, sosial, teknologi, bidang Information Technology (IT) dan politik.

Ramai beranggapan bahawa hanya aspek ekonomi yang memainkan peranan penting dalam membangunkan negara, akan tetapi kestabilan politik juga memainkan peranan penting dalam mewujudkan negara yang maju dan berdaya saing.

Iklan

Kestabilan politik dalam sesebuah negara memudahkan pembangunan negara kerana keharmonian dan kesepaduan masyarakat telah dicapai.

Ramai golongan muda telah memberikan sumbangan yang besar kepada negara khususnya dalam pembangunan dan kemajuan negara.

Pada tahun 2020, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan bahawa sembilan anak muda tempatan telah berjaya mengharumkan nama negara apabila mereka merupakan penerima pingat emas bagi Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa Dunia (WIMO) di Tokyo, Jepun.

Selain itu, Nusaybah Maszlee yang merupakan pelajar Malaysia dan Asia Tenggara pertama yang memperoleh enam Anugerah Siswa Cemerlang di Universiti Georgetown, Qatar.

Dua orang adik-beradik pemanah berkuda cilik Malaysia juga telah mengharumkan nama negara pada 21 hingga 24 Ogos lalu di persada antarabangsa dalam Gauchoux Open Horseback Archery Competition: European Kids Championship 2024 yang diadakan di Perancis.

Mereka telah mendapat pingat walaupun ini merupakan kali pertama mereka menyertai kejohanan ini.

Ini menunjukkan bahawa walaupun mereka masih muda, mereka mampu melonjakkan nama negara ke persada dunia.

Kepentingan pendidikan

Pendidikan juga amat penting dalam kalangan masyarakat khususnya golongan muda dalam membangunkan negara.

Pemikiran yang kreatif, inovatif dan kritis dapat dibentuk melalui pembelajaran. Memiliki pemikiran sebegini dapat membantu golongan muda untuk mengaplikasikan dalam proses membangunkan negara ke arah lebih maju dan berdaya saing.

Pendidikan mampu membentuk jati diri dan peribadi yang baik dan menarik seperti kredibiliti seseorang, bertanggungjawab, amanah, jujur dan sebagainya.

Menurut K.H. Abdullah Gymnastiar, kredibiliti bermula dengan pengurusan hati, kejujuran, cekap dan berinovasi.

Oleh hal yang demikian, remaja akan dipercayai dan dihormati jika bekerja dengan jujur, cekap dan dapat membuat sesuatu pembaharuan.

Bagi mewujudkan remaja berwawasan adalah dengan memiliki personaliti yang mulia, mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, bersemangat patriotik, bertanggungjawab, tidak berputus asa dan berani mencuba sesuatu yang baru.

Namun demikian, ciri-ciri tersebut kian terhakis dalam diri anak muda sekarang. Hal ini kerana kurangnya kesedaran mereka terhadap kepentingan mempunyai peribadi dan akhlak yang mulia.

Perkara ini mendorong kepada keruntuhan akhlak dan moral individu. Individu tersebut terdorong untuk bersikap tidak jujur kepada diri sendiri dan orang lain.

Perkara ini boleh dilihat realiti masa kini dalam peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Segelintir pelajar sanggup memalsukan sebab ketidakhadiran mereka kepada guru atau pensyarah.

Hal ini sudah menunjukkan bahawa mereka tidak berasa bersalah kerana tidak jujur dengan diri mereka dan pihak lain.

Perkara sebegini sangat membimbangkan kerana jika isu sebegini tidak dapat dibendung dari awal, maka bagaimana negara dapat dibangunkan jika sifat begini masih kekal dalam jiwa anak muda.

Pendidikan mampu melahirkan tenaga kerja profesional

Pendidikan dapat melahirkan rakyat yang berkualiti tinggi lalu menghasilkan tenaga kerja yang profesional.

Oleh hal yang demikian, negara memiliki tenaga kerja yang hebat setanding dengan tenaga kerja profesional yang diimport.

Kerajaan tidak perlu untuk mengimport tenaga kerja dari negara luar bagi memenuhi kepakaran dalam sesuatu bidang pekerjaan.

Hal ini dapat menjimatkan kos perbelanjaan kerajaan dan peluang pekerjaan untuk rakyat semakin luas.

Semakin ramai rakyat mendapat pekerjaan, maka semakin banyak rakyat akan berbelanja dan hal ini dapat menjana pendapatan dan pembangunan negara.

Rakyat yang berpendidikan akan lebih maju dalam pemikiran daripada aspek politik, ekonomi dan sosial.

Hal ini dapat merangsang pembangunan negara kerana pembaharuan perubahan yang dilakukan oleh golongan muda.

Kebolehpasaran TVET dalam arena pekerjaan

Seiring dengan perubahan dunia moden, negara lebih memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi yang mampu berdaya saing di peringkat global.

Kerajaan telah memperkenalkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk membangunkan tenaga kerja mahir tempatan.

Menurut kajian, kebolehpasaran graduan kemahiran di Malaysia lebih tinggi berbanding dengan graduan universiti.

Banyak industri mengambil pekerja mahir tempatan dalam bidang tertentu berbanding mengambil pekerja mahir diimport dari luar negara kerana kos yang dikenakan adalah lebih rendah.

Institusi TVET menawarkan pelbagai kemahiran yang menjadi keperluan industri masa kini.

Lepasan SPM kurang berminat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi

Namun demikian, sejak tahun 2020 dianggarkan bahawa lebih 458,000 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Hal ini sangat memberikan impak negatif kepada negara terutamanya peranan golongan muda dalam pembangunan negara.

Lebih membimbangkan jika trend ini semakin berterusan, dijangka calon SPM yang akan datang bakal mengikuti jejak langkah yang serupa.

Mengikut data Jabatan Perangkaan pada 2019, didapati bahawa sebanyak 390,000 orang atau 72.1 peratus pelajar SPM tidak mahu menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Golongan muda ini berpendapat bahawa tiada perbezaan ketara daripada aspek pendapatan antara lepasan SPM dengan sijil pendidikan yang lebih tinggi.

Terdapat sebilangan beranggapan bahawa menjadi content creator atau influencer mampu menjana pendapatan lebih tinggi berbanding mereka yang berpendidikan tinggi.

Media sosial mempengaruhi generasi muda dalam mereka membuat pilihan sama ada untuk melanjutkan pelajaran atau tidak.

Jika mereka lebih memilih untuk bekerja berbanding melanjutkan pelajaran, maka dibimbangi negara kurang mempunyai golongan belia yang berpendidikan dan profesional dalam membangunkan dan memajukan sebuah negara.

Trend golongan muda yang tidak berminat untuk melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi sama ada daripada institusi kemahiran dan universiti akademik akan mengurangkan graduan tempatan.

Kesannya, generasi muda sukar untuk menembusi pasaran pekerjaan yang lebih profesional.

Generasi muda adalah pemangkin untuk pembangunan negara pada masa hadapan hanya akan menjadi khayalan jika sikap dan persepsi remaja masih berada pada tahap yang sama dan tidak berubah.

Maklumat penulis:

1) Mahasiswa Tahun Akhir, Sarjana Muda Pengurusan (Pengajian Polisi) dengan Kepujian, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Nur Balqis Esamsuri

2) Penyelaras Kursus Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Malaysia (ECO4373) dan Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu, Jaharudin Padli

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my