Remaja berusia 17 tahun hilang! 'Baliklah Nurul Fateha Nabila, semua merindui dan menanti kepulangan awak'

Iklan
Nurul Fateha Nabila dikatakan hilang sejak 29 Disember lalu dan pihak polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan remaja itu.

Seorang remaja dikenali Nurul Fateha Nabila Mohd Zailani dilapor hilang dari kediaman ibu saudaranya di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang, Selangor.

Dia yang berusia 17 tahun dikatakan hilang sejak 29 Disember lalu dan pihak polis meminta bantuan orang ramai untuk mengesan remaja terbabit.

Iklan
Iklan

Menurut Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman, pihaknya menerima laporan kehilangan Nurul Fateha Nabila pada 31 Disember lalu oleh ibu saudaranya yang juga penjawat awam.

"Mangsa tinggal bersama pengadu sejak Februari lalu selepas diambil dari sebuah Pusat Pemulihan Akhlak di Sabak Bernam.

Iklan

"Sebelum menghilangkan diri, mangsa telah berkurung dalam bilik kerana berlaku selisih faham bersama keluarga," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Norhizam berkata, remaja itu dikesan hilang pada 12 tengah hari (29 Dis), memakai baju-T warna hitam dan berseluar trek hitam serta membawa bersama telefon bimbit.

Iklan

Ujarnya, usaha mengesan remaja tersebut giat dilaksana dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang (OH).

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Muhamad Jefry Mustafa di talian 014 8013500,” jelas Norhizam.