Komuniti bekas murid Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Perempuan, Ipoh, Perak bersama-sama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bergabung tenaga menjayakan majlis amal minum petang RPSIAN Hi-Tea bagi mengutip dana untuk sekolah berkenaan.
Guru Besar, Muszalipah Ahmad Yahya berkata, penganjuran buat julung kali itu akan berlangsung pada 26 Januari ini di Galasa Caldwell yang dijangka disertai lebih 300 orang.
Menurutnya, idea penganjuran program tersebut dicetuskan oleh bekas-bekas murid yang ingin membantu sekolah dan kemudian disambut pihak pengurusan sekolah serta PIBG.
"Kita adakan program ini sebenarnya bertujuan mengumpul dana bagi menaik taraf infrastruktur dan kemudahan sekolah. Hasil sumbangan berkenaan akan digunakan antaranya untuk naik taraf bangunan surau, dewan, makmal sains, pusat sumber, bilik Bahasa Inggeris dan bilik program kebitaraan sekolah.
"Program amal ini kita buka kepada orang ramai yang ingin menyumbang dengan membeli tiket berharga RM100 setiap satu. Kita amat alu-alukan dalam kalangan bekas murid, bekas guru dan ibu bapa," katanya kepada pemberita dalam satu sidang media baru-baru ini.
Hadir sama pada sidang media itu, Yang Dipertua PIBG SK Raja Perempuan, Muhammad Hafizi Zainal Abidin dan beberapa bekas murid yang menggerakkan program berkenaan.
Muszalipah berkata, sehingga kini lebih 200 tiket telah terjual daripada 500 tiket yang disediakan untuk orang ramai membeli sambil menyumbang dana kepada pihak sekolah.
Menurutnya, beberapa persembahan istimewa akan disajikan sempena program berkenaan termasuklah tarian dan nyanyian oleh murid-murid sekolah berkenaan.
Selain itu, katanya, program bertemakan Bollywood tersebut akan turut menampilkan beberapa pengisian lain seperti penghargaan ikon murid, cabutan bertuah dan sebagainya.
Dalam pada itu, Muszalipah berkata, program berkenaan juga menjadi platform kepada pihak sekolah bagi menjalin hubungan erat bersama komuniti serta rakan strategik sama ada dari agensi kerajaan dan swasta.
"Saya harap platform ini dapat merealisasikan anjakan Kesembilan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 iaitu kerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas.
"Usaha ini juga diharap dapat menggambarkan komitmen semua pihak terlibat dalam merealisasikan pembelajaran pada abad ke-21 ini demi kemenjadian murid SK Raja Perempuan," katanya.
Beliau berkata, tiket-tiket berkenaan boleh didapati melalui pihak sekolah, PIBG dan bekas-bekas murid yang terlibat dengan harga RM100 seorang.