SK Rumbia jayakan Latihan Pencegahan Kebakaran Siri 2 Tahun 2025

Iklan
Latihan Pencegahan Kebakaran dan Pengungsian Bangunan Siri 2 Tahun 2025 di SK Rumbia berjaya melibatkan penyertaan penuh warga sekolah dalam usaha memupuk budaya keselamatan serta kefahaman menghadapi kecemasan.

Kesedaran keselamatan dalam kalangan murid terus diberi keutamaan apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Rumbia, Alor Gajah, Melaka menganjurkan Latihan Pencegahan Kebakaran dan Pengungsian Bangunan Peringkat Sekolah Siri 2 Tahun 2025 di padang sekolah baru-baru ini.

Penyelaras program, Cikgu Mohd Yusazli Md Yusof berkata, latihan bertujuan membiasakan murid dan seluruh warga sekolah dengan prosedur keselamatan sekiranya berlaku insiden kebakaran.

Iklan
Iklan

"Melalui aktiviti ini, murid dilatih supaya tidak panik, menggunakan laluan kecemasan yang telah ditetapkan serta mengetahui cara menggunakan alat pemadam api yang ada di sekolah.

Iklan

"Selain itu, ia juga memberi kesedaran agar mereka sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan kebakaran dan kecemasan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau menambah, pendedahan awal sebegini amat penting untuk memupuk sikap berjaga-jaga dan menanam nilai kepekaan keselamatan sejak usia muda.

Iklan

"Sekurang-kurangnya murid tahu apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kebakaran dan itu sudah dianggap satu kejayaan," ujarnya.

Sementara itu, Latihan Pencegahan Kebakaran dan Pengungsian Bangunan Peringkat Sekolah Siri 2 Tahun 2025 mendapat kerjasama erat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Alor Gajah yang menurunkan seramai 11 anggota diketuai Ketua Operasi, Ramli Yusof.

Mereka hadir dengan kekuatan satu unit jentera, satu unit Emergency Medical and Air Recue Services (EMARS) serta dua buah motosikal berkuasa tinggi bagi mempamerkan aset serta peralatan bomba kepada warga sekolah.

Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuklah taklimat keselamatan, demonstrasi memadam kebakaran menggunakan petrol dan diesel serta sesi amali yang turut melibatkan guru, jawatankuasa Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan murid sendiri.

Warga sekolah turut berpeluang mendekati anggota bomba, mencuba peralatan yang dibawa dan merasai pengalaman sebenar seperti berada di lokasi kejadian kebakaran.

Kemuncak program menyaksikan majlis menandatangani sijil jalinan kerjasama antara SK Rumbia yang diwakili Guru Besar, Haniza Mohd Hanif bersama Ramli bagi pihak JBPM Alor Gajah, sebagai simbol komitmen bersama dalam memperkukuh aspek keselamatan sekolah.