SMK Landas juara inovasi sabun antibakteria

Iklan
Dari kiri: Muhammad Nazim Zhafran, Damia Farisya dan Nurul Fatihan bersama produk yang menjadikan pasukan mereka sebagai juara.

Sekolah kawasan Felda bukti kebolehan menerusi ekstrak daun jambu batu dan daun belimbing buluh

Lambakan daun jambu batu dan daun belimbing buluh gugur dari pokok mencetuskan idea inovasi buat sekumpulan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Landas, Ajil, Terengganu mencipta sabun tangan antibakteria, sekali gus merangkul pingat emas di peringkat negeri.

Guru Pembimbing, Amirul Shahadam Suhasmadi berkata, kejayaan pasukan yang terdiri daripada tiga pelajar dan dibimbing dua lagi guru itu menjadi batu loncatan bahawa sekolah luar bandar khasnya Felda mampu melangkah jauh ke depan dalam bidang inovasi.

Iklan
Iklan

Inovasi itu dihasilkan oleh pelajar Tingkatan Tiga iaitu Muhammad Nazim Zhafran Muhamad Zukri, Damia Farisya Abdullah dan Nurul Fatihan Abdul Malik yang juga juara Pertandingan Terengganu Exxonmobil Mathematics Innovation Challege pada Ahad lalu.

"Kita namakan produk ini sebagai Natural Antibacterial Hand Soap," katanya kepada Sinar Bestari pada Selasa.

Iklan

Menurut beliau, pelajar itu mendapat idea menghasilkan inovasi tersebut selepas melihat daun jambu dan daun belimbing buluh yang gugur dalam kawasan sekolah dibuang oleh tukang kebun.

"Selain itu, sabun ini 100 peratus daripada bahan semula jadi sesuai digunakan semua orang termasuk bagi mereka yang mempunyai masalah kulit sensitif.

Iklan

"Di peringkat pertama penyelidikan, pelajar menghasilkan ekstrak daun jambu batu dan daun belimbing buluh serta kandungan sabun asas dalam makmal sekolah," jelasnya.

Pasukan STEM SEMELAND bersama Pengetua, Azman Mohd Nor @ Harun ketika pertandingan di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan Marang, Terengganu Ahad lalu.

Kongsi guru pembimbing itu, usaha kumpulan pelajarnya mendapat perhatian Fakulti Bio Sumber dan Industri Makanan, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Besut yang menjadi rakan kolaborasi sepanjang tempoh kerja-kerja inovasi tersebut.

"Kita berterima kasih dan bersyukur kerana Fakulti Bio Sumber dan Industri Makanan juga membantu pelajar membuat pengesahan terhadap kandungan logam berat dan analisis mikrobiologi terhadap produk inovasi.

"Menariknya, sabun tangan ini selamat digunakan serta bebas kandungan logam berat yang berbahaya," ujarnya.