5 pengiktirafan untuk Muhammad Awliya dalam Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2024! 'Pencapaian anak Perak ini sangat luar biasa' - Warga maya

Iklan
Muhammad Awliya (tiga dari kanan) menerima anugerah daripada Azlinda (tengah) di Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2024 pada Khamis.

Presiden bagi Kesatuan Mahasiswa (KM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Sesi 2024/2025, Muhammad Awliya Mohd Fauzi cukup bertuah kerana dipilih sebagai penerima lima anugerah dalam Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2024 di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM pada Khamis.

Lima anugerah iaitu Anugerah Kepimpinan Keusahawanan; Anugerah Kepimpinan Pengucapan Awam; Anugerah Program KMUKM Terbaik; Anugerah Program Penjanaan Terbaik dan Anugerah Tokoh Siswa UKM 2024 disampaikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman kepada Muhammad Awliya dalam majlis gilang gemilang yang bertemakan Kilauan Bintang.

Iklan
Iklan

Memetik perkongsian di Facebook Selasa lalu, anak muda kelahiran Kuala Kurau, Perak ini berkata, tahun 2024 telah menjadi saksi perjalanan luar biasa dirinya sepanjang bergelar mahasiswa UKM.

"Siapa sangka menerajui kepimpinan bermula daripada bawah sekecil-kecil jawatan sebagai ahli jawatankuasa (AJK) kelab lalu disambut dengan persatuan dan terus diangkat sebagai kesatuan.

Iklan

"Bermula dengan kerusi fakulti di blok pembangkang KMUKM pada awal 2024, berakhir dengan kerusi umum di blok kerajaan KMUKM pada 2024 sebagai Presiden KMUKM Sesi 2024/2025.

"Di sini, saya telah belajar, berkembang dan menyumbang kepada masyarakat dengan dedikasi yang tinggi. Sama ada melalui program-program kebajikan, kepimpinan dan kesukarelawanan kita membuktikan bahawa semangat ‘Tetap Setia Berbakti’ sentiasa utuh.

Iklan

"Semoga setiap langkah yang diambil membawa kebaikan kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Percayalah, kejayaan adalah milik mereka yang tidak pernah berhenti mencuba, walau sesukar mana jalan di hadapan,” catatnya.

Sementara itu, Azlinda berkata, penganjuran Majlis Anugerah Tokoh Siswa 2024 tersebut membuktikan komitmen UKM dalam melahirkan graduan berkualiti tinggi bukan sahaja dalam akademik tetapi juga dalam kepimpinan.

Ia turut diakui Timbalan Naib Canselor UKM, Profesor Madya Dr Suzeren Md Jamil yang memaklumkan, pengiktirafan seperti ini memupuk semangat kepimpinan dan kecemerlangan dalam kalangan mahasiswa.

"Majlis ini bukan sahaja meraikan kejayaan mahasiswa tetapi juga menjadi inspirasi untuk terus berusaha sekali gus membuktikan bahawa setiap penuntut berpotensi memberi impak positif kepada universiti dan masyarakat,” katanya.

Majlis yang mengiktiraf pencapaian dalam kategori kepimpinan badan beruniform, persatuan, fakulti, kolej kediaman dan pelbagai bidang lain dengan penyampaian 47 anugerah dalam lapan kluster berbeza telah dihadiri barisan ahli akademik yang terdiri daripada ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU), Profesor Dr Bariah Mohd Ali; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Dr Abdul Halim Abdul Gafor dan Pendaftar, Zanudin Mohd Daud.

Turut serta, Pro Naib Canselor (Strategi dan Kewatanan), Profesor Datuk Dr Roslee Rajikan; Pro Naib Canselor (Penjanaan dan Prasarana), Profesor Sr Ts Dr Adi Irfan Che Ani dan Pengarah Pusat Hal Ehwal Pelajar (HEP-UKM), Profesor Ts Dr Norinsan Kamil Othman.