Ibu bapa saran kenaikan Bantuan Awal Persekolahan tahun hadapan

Iklan
Bantuan Awal Persekolahan diberikan kepada wakil-wakil sekolah oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek. Foto: Kementeriam Pendidikan Malaysia (KPM).
Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi 2025 yang sudah mula diagihkan sejak 10 Januari merupakan amanah besar yang mesti digunakan sepenuhnya untuk keperluan anak-anak.

Meskipun bantuan sebanyak RM150 itu mampu mengurangkan beban kewangan ibu bapa, namun sesetengah daripadanya menyarankan pihak kerajaan untuk menaikkan jumlah sumbangan.

Sebelum ini, setiap pelajar dapat menikmati jumlah berkenaan untuk melengkapkan keperluan sekolah seperti pakaian atau alat tulis.

Menurut seorang ibu, Noraslina Mohd Nor, 48, berkata, kenaikan sekurang-kurangnya RM50 juga mencukupi dengan jumlahnya sebanyak RM200 bagi bantuan tahun hadapan.

"Kalau kerajaan dapat naikkan lagi sikit, mungkin sangat-sangat melegakan bagi kami, ibu dan bapa.

"Saya ada dua orang anak yang bersekolah, jadi ada banyak barang keperluan yang perlu disediakan sebelum mula persekolahan.

"Walaupun dua anak, tetapi saya rasa berbesar hati sekiranya saranan saya didengari,” katanya secara eksklusif bersama Sinar Bestari selepas Majlis Penyerahan Cek Cura BA) 2025 di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Nurul Huda Nadia Mohamed, 39, mengakui menerima dengan dada lapang sekiranya kerajaan turut memberi bantuan awal persekolahan kepada kanak-kanak yang akan memasuki prasekolah bagi sesi tahun hadapan.

Ia berikutan, Nurul Huda mempunyai dua orang anak yang perlu dilengkapkan dengan keperluan persekolahan masing-masing berumur 10 dan 4.

"Anak kecil saya tahun hadapan akan masuk prasekolah, saya amat berterima kasih sekiranya kerajaan benar-benar menyediakan peruntukan untuk mereka,” katanya.

Dalam pada itu, bagi Muhammad Alif Iman Mohd Azlan, 16, dia mengakui bahawa bantuan sebanyak RM150 yang diagihkan oleh kerajaan setiap tahun mencukupi setiap perbelanjaan untuk membeli keperluan sekolah.

Menurutnya, kerajaan memperuntukan jumlah itu kerana ia boleh membantu meringankan beban keluarga khususnya dalam menyediakan keperluan sekolah.

"Walaupun ada yang memberitahu jumlah ini agak kecil, tetapi bagi saya ia memberikan impak positif yang ketara kepada kebanyakan penerima,” katanya.

Che Zariff Naqiyuddin Che Zulkifli, 13, pula beranggapan dengan jumlah yang diberikan, dia boleh membeli dua hingga tiga pasang baju sukan yang boleh dipakai setiap hari ke sekolah.

"Kalau saya pergi sekolah, saya boleh pakai baju sukan sahaja. Jadi, sekiranya tidak mahu basuh setiap hari, saya boleh beli lagi tiga helai baju sukan untuk ke sekolah.

"Secara tidak langsung, saya tidak perlu meminta wang kepada ibu untuk membeli baju sukan di koperasi sekolah,” katanya.

Bantuan tersebut adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban kewangan keluarga terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

Jika ibu bapa bijak menguruskan perbelanjaan dengan baik, maka anak-anak dapat memulakan sesi persekolahan penuh semangat dengan barangan dan keperluan sekolah yang lengkap serta baharu.

TAMAT