Sekumpulan penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya membangunkan Sistem Fertigasi Pintar berteraskan teknologi Internet Kebendaan (IoT) bagi meningkatkan hasil pengeluaran tanaman pertanian.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan antara hasil terbaharu ciptaan penyelidik universiti itu dalam membantu sektor pertanian.
Ujarnya, sistem berkenaan mampu mengawal kualiti tanaman pertanian di mana kumpulan petani boleh membuat kawalan sistem fertigasi seperti kawalan pam air secara jarak jauh.
"Usaha barisan penyelidik UTeM menzahirkan kepakaran yang dimiliki dengan sentuhan teknologi terkini telah berjaya menaik taraf sektor pertanian ke tahap yang lebih moden dan maju.
"Projek Sistem Fertigasi Pintar yang menggunakan IoT ini telah dijayakan di Kebun Komuniti Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka sempena program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI) tajaan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF).
"Ia dijayakan menerusi usahasama Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE UTeM-Melaka dan sekumpulan penyelidik sejak pertengahan 2024,” ujarnya.
Untuk info, Sistem Fertigasi Pintar Berasaskan IoT dibangunkan lima penyelidik UTeM diketuai Profesor Madya Dr Imran Mohd Ibrahim dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK).
Empat ahli kumpulan lain terdiri daripada Ts Mohd Faizal Halim; Ts Dr Ismail Abu Shah; Ts Dr Mohd Gadafie Ibrahim dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Industri dan Pembuatan (FTKIP) dan Ts Mohd Erdi Ayob dari FTKEK.
Menceritakan tentang ciri-ciri dan fungsi produk inovasi berkenaan, Imran berkata, Sistem Fertigasi Pintar Berasaskan IoT menghubungkan sensor di ladang secara tanpa wayar menggunakan Teknologi LORA ke Pusat Pengumpulan Data.
"Data ini seterusnya dihantar ke Penghala Wayarles menggunakan teknologi Wireless LAN manakala Penghala Wayarles pula akan berkomunikasi dengan Menara Pemancar menggunakan frekuensi 5G.
"Maklumat data ini boleh diakses pada paparan pemuka peranti tablet atau komputer secara jarak jauh dan ini membolehkan petani memantau kandungan air dan baja pada tanaman serta tahap kesihatan pokok bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada.
"Malahan mereka juga boleh membuat kawalan kepada Sistem Fertigasi ini seperti kawalan pam air secara jarak jauh terhadap 1,000 pokok yang ditanam dalam polibeg dapat disiram secara serentak dan sekata sekali gus memberi hasil kesemua pokok membesar dan mengeluarkan tanaman berkualiti," ujarnya.