Pelajar IKM Johor Bahru bakal ke Manila! 'Haziq sentiasa mahu cabar diri. Sememangnya dia layak berada di pentas dunia'

Iklan
Haziq (kiri) bersama jurulatih merangkap pensyarah Jabatan Elektrik, IKM Johor Bahru, Shamshul Annuar Ruslan (baju hijau) yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan dorongan sepanjang Haziq mengikuti pengajian di sini.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor, Muhammad Haziq Lailla Zamri, 21, telah membuktikan bahawa tiada apa yang mustahil dengan usaha gigih dan semangat yang membara.

Haziq yang merupakan pelajar semester enam Diploma Kompetensi Elektrik Kuasa (A1), Institut Kemahiran Mara (IKM) Johor Bahru, Johor kini mengukir nama sebagai wakil Malaysia di pentas antarabangsa menerusi ASEAN Skills Competition (ASC) 2025 (bidang Electrical Installation) yang dijadualkan pada Ogos depan di Manila.

Iklan
Iklan

Nor Shazwani Shamshudin menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, Haziq adalah antara pelajar contoh di IKM Johor Bahru di mana dia berjaya mempamerkan kecemerlangan dalam akademik dan kokurikulum.

"Haziq pernah memenangi gangsa pada tahun 2023 dan Medallion for Excellence 2024 dalam Pertandingan World Skills Malaysia Belia (WSMB).

Iklan

"Dia juga sering mewakili institut di pertandingan inovasi dan aktif dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR)," catat Nor Shazwani yang merupakan salah seorang warga kerja di IKM Johor Bahru.

Sambung hantaran itu, Haziq berjaya mengekalkan prestasi cemerlangnya dalam akademik biarpun sering sibuk dengan kegiatan luar anjuran IKM Johor Bahru sendiri dan pihak lain.

Iklan

"Haziq adalah penerima Anugerah Dekan dengan Purata Nilai Gred Kumulatif atau Grade Point Average (GPA) 4.00 untuk semester satu, dua dan empat. Manakala semester tiga dan lima pula, dia lulus latihan industri.

"Daripada segi personaliti, alumni Sekolah Menengah (SM) Sains Batu Pahat (SEHEBAT), Johor ini memang terkenal sebagai pelajar yang rajin, tidak pernah putus asa, suka belajar perkara baru, sentiasa mahu cabar diri dan memiliki matlamat hidup yang jelas. Maka tidak hairanlah, dia sentiasa cemerlang dalam pelbagai aspek,” kata Nor Shazwani menerusi perbualan ringkas bersama wartawan menerusi aplikasi WhatsApp.

Sementara itu, Pengarah IKM Johor Bahru, Ir Ts Dr Mohd Nazif Mohd Baharuddin berkata, kejayaan Haziq mewakili Malaysia ke ASC 2025 secara tidak langsung mengangkat nama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Majlis Amanah Rakyat (Mara) di persada dunia.

Selain itu, kata beliau, Haziq juga telah membuktikan pelajar aliran TVET bukan hanya cemerlang ‘skil’ (hands on) tetapi seiring dengan akademik.

"Haziq menunjukkan kehebatan dalam bidang akademik dengan pencapaian GPA 4.0 setiap semester.

"Dia juga merupakan seorang pelajar yang mempunyai keperibadian dan sahsiah terpuji.

Mohd Nazif

"Harapan kita di TVET MARA adalah untuk melahirkan graduan yang seimbang dari segi skil, akademik, sahsiah terpuji bagi menyokong Dasar TVET Negara 2030 dan Haziq salah seorang darinya," katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata warganet mengucapkan tahniah atas kejayaan Haziq yang berjaya mewakili Malaysia ke Manila.

Haslinda Ramli: Semoga dipermudah segala urusan dan cemerlang dunia akhirat sekali gus menjadi contoh kepada pelajar lain.

Laila Zamri: Tahniah anakku Haziq. Semoga berjaya mengharumkan nama Malaysia dan juga IKM Johor Bahru.

Muhammad Fitri: Tahniah dik. Moga cemerlang di masa mendatang. Banggakan keluarga dan negara.

Kay Aziera: MasyaALLAH...pernah baca tentang dia. Semoga terus cemerlang anak muda.

Ct Amamah: Tahniah Haziq! Fly high. Dah wakil negara pun satu pencapaian terbaik. Moga bersinar dan berjaya membawa pulang kejayaan.

Jeck Boston: Tangan emas