KPM cadang perluas pemberian Baucar Buku Madani kepada guru

Iklan
Fadhlina (tiga dari kanan) bersama wakil Pejabat Pendidikan Daerah yang menerima cek cura bantuan awal persekolahan di Sekolah Kebangsaan Seri Tasek pada Jumaat.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bercadang untuk memperluaskan pemberian Baucar Buku Madani kepada golongan pendidik pada tahun ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif Baucar Buku Madani yang diumumkan kerajaan pada Mei tahun lalu telah memberi manfaat kepada 3.5 juta pelajar yang melibatkan penebusan baucar sebanyak RM 286 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penebusan 100 peratus baucar itu melibatkan kira-kira 7.8 juta bahan bacaan sepanjang 2024.

"Melihat kepada keupayaan, komitmen kepercayaan dan platform yang telah kita sediakan melalui pemberian baucar, kita berharap kita dapat meluaskan (pemberian baucar) pada tahun ini, maknanya sama ada diteruskan atau ditambah juga baucar untuk guru bagi tahun ini.

Iklan

"Kita nampak komitmen itu ada, rakyat Malaysia menggunakan sepenuhnya baucar buku ini untuk menebus bahan bacaan yang baik dan ia memberikan kesan langsung kepada budaya membaca dan peningkatan pembacaan kalangan anak-anak kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan cek bantuan awal persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, Simpang Ampat, Pulau Pinang pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan.

Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, pihaknya akan membawa cadangan berkenaan kepada jemaah menteri termasuk membentangkan laporan kejayaan pelaksanaan pemberian Baucar Buku Madani pada tahun lalu.

"Inilah kejayaan yang cukup besar dan ia tidak mudah tetapi kita berjaya laksanakan dengan hasil komitmen daripada semua pihak, guru terutamanya.

"Yang paling mengagumkan pastilah juga kerana kita juga berjaya melaksanakan penembusan ini 100 peratus di kawasan luar bandar yang saya fikir sangat baik dari segi komitmen itu," ujarnya

Pada Mei tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku bernilai kepada murid sekolah rendah bermula Tahun 4, pelajar sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi (IPT).

Baucar bernilai RM50 diberikan kepada murid Tahun 4 ke atas, manakala RM100 diberikan kepada murid sekolah menengah, pelajar kolej vokasional, Tingkatan Enam, matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).