Johor tutup sekolah jika bacaan IPU lebih 200 - Exco

Iklan
Dr Muhamad Naqib (tengah) ketika sidang akhbar di SMK Suria Jaya.

Johor akan melaksanakan penutupan sekolah sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 mengikut ketetapan pihak berkuasa.

Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri, Dr Muhamad Naqib Md Ghazali berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah diminta mengemas kini data semasa berhubung bacaan IPU sebagai rujukan ibu bapa, pelajar dan guru.

Iklan
Iklan

"Pada pagi Isnin, Segamat merekodkan bacaan 157, Batu Pahat (157), Tangkak (153) dan Kluang (151). Jadi, kita sudah berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), sekiranya bacaan melebihi 200, sesi persekolahan akan ditutup.

"PPD dan guru besar perlu segera mewujudkan platform komunikasi yang berkesan supaya isu-isu ini dapat kita tangani dengan baik. Ini kerana IPU sekarang menjadi perhatian.

Iklan

"Setiap hari kita perlu mengemas kini data IPU dan berharap maklumat itu sampai kepada masyarakat terutama ibu bapa supaya mereka tahu keadaan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan sempena hari pertama pembukaan sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya, Parit Yaani pada Isnin.

Iklan

Hadir sama Timbalan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Yaani, Datuk Mohammad Najib Samuri dan Ketua Penolong Pengarah Kanan (Sektor Pengurusan Sekolah) JPN, Mohd Azmi Abd Rahman.

Dalam pada itu, Dr Muhamad Naqib berkata, kerajaan negeri dan JPN turut memantau sebarang aktiviti luar sekolah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada.

"Saya difahamkan JPN sudah menyediakan SOP bagi pelaksanaan aktiviti luar dan penutupan sekolah. Jadi, SOP itu sudah ada dan kita bersedia untuk melaksanakannya.

"Ketika ini, kita berdepan cuaca panas dan kita perlu mengambil serius perkara ini. Kalau perlu kurangkan aktiviti luar, kita kurangkan.

"Pada peringkat kerajaan negeri, kita memantau dan tidak boleh mengarahkan, sebaliknya memastikan komunikasi berjalan dengan baik," katanya.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat manakala IPU melebihi 300 dikategorikan sebagai berbahaya.