Usaha Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melaksanakan operasi #terjah ke setiap Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi memastikan kebajikan dan kesihatan pelajar terjaga, wajar dijadikan contoh oleh pemimpin lain.
Pendekatan proaktif itu menunjukkan kesungguhan dalam memahami isu sebenar di peringkat akar umbi tanpa bergantung sepenuhnya kepada laporan rasmi.
Lawatan sebegini bukan sahaja memberi peluang kepada pemimpin untuk melihat keadaan sebenar tetapi juga membuktikan keprihatinan terhadap kesejahteraan rakyat.
Pengerusi Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Hasnah Toran berkata, pihak berkepentingan perlu mengetahui bahawa MRSM adalah pusat menjaga permata negara dengan baik.
"Kita lihat dari sudut positif iaitu bukanlah Asyraf (Wajdi) datang untuk menunjukkan kelemahan mereka.
"Sebaliknya, lawatan mengejut itu untuk mengetahui sekiranya ada perkara yang boleh dibantu. Kita perlu hargai usaha tersebut,” katanya kepada Sinar Bestari.
Hasnah turut mencadangkan agar tindakan terjah itu turut dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan fasiliti dan keadaan di sekolah-sekolah kerajaan terjaga.
Pemantauan yang dijalankan dengan penuh hormat bukan sahaja memastikan kebajikan pelajar terpelihara, namun ia juga memperkukuhkan hubungan antara pemimpin, guru dan masyarakat.
"Inisiatif seperti ini amat diperlukan untuk melahirkan sistem pendidikan yang lebih dinamik dan berpaksikan kepada keperluan rakyat.
"Cara #terjah sudah baik, cuma jarang dilakukan. Sekarang pun tahun 2025, jadi media sosial jadi sebahagian daripada kehidupan rakyat,” katanya.
Keadaan semasa pelajar
Sementara itu, alumni MRSM Transkrian, Nibong Tebal, Nur Ardinni Rizwin Sharizal, 24, berkata, lawatan mengejut yang sering dilakukan pihak atasan semestinya menunjukkan hasil kerja yang sempurna.
Ujarnya lagi, pemantauan itu mampu membuktikan keadaan sebenar pelajar yang berkemungkinan mempunyai masalah.
"Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, sekiranya ada pihak atasan hendak datang atau buat tinjauan, kami memang perlu bersedia.
"Mereka akan lihat yang MRSM tiada sebarang masalah kerana di setiap bilik, almari atau dewan makan dikemas dengan rapi,” katanya.
Sebaliknya dengan lawatan mengejut, institusi pendidikan itu tidak lagi perlu berselindung.
Dalam pada itu, alumni MRSM Trolak, Aimi Annasuha Abdul Rahman, 26, mengakui pemantauan yang dijalankan dengan penuh hormat bukan sahaja memastikan kebajikan pelajar terpelihara tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara pemimpin, guru dan masyarakat.
Kongsinya, inisiatif itu amat diperlukan untuk melahirkan sistem pendidikan dinamik dan berpaksikan kepada keperluan pelajar.
"Lawatan ini penting dan memberi peluang kepada pelajar untuk terus menyuarakan pandangan atau aduan kepada Pengerusi Mara.
"Mungkin aduan-aduan pelajar tidak didengari pihak sekolah, namun dengan keprihatinan itu, boleh buat pelajar lebih senang hati,” ujarnya.
Reaksi Ibu Bapa
"Sebagai ibu, saya rasa tindakan ‘#terjah’ Asyraf Wajdi sangat positif yang mana, selama ini sekiranya ada perkara-perkara yang terlindung termasuk keadaan maktab akan dirungkaikan sendiri oleh Pengerusi Mara. Ia membuktikan pengarah akan menilai dan mungkin dapat menaik taraf terutama terhadap maktab yang sudah terlalu uzur." - Pekerja swasta, Normala Kamisan, 51.
"Sebenarnya, tindakan #terjah yang dibuat Pengerusi Mara ini mempunyai impak yang positif terhadap MRSM itu. Seperti yang diketahui umum, bangunan dan fasiliti di MRSM ada yang masih baharu dan hampir uzur. Secara tidak langsung, ‘terjah’ ini memberi impak secara keseluruhan dari segi servis, fasiliti dan memberikan keselesaan kepada pelajar serta tenaga pengajar." - Pekerja swasta, Norshahzura Mat Zuki, 42.
"Setakat ini, saya sangat berpuas hati dengan pengurusan di MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) Merbok iaitu tempat anak saya belajar. Kebajikan pelajar sangat dititikberatkan. Hubungan yang akrab antara muafakat dan guru juga sangat membantu." - Penolong Pengarah di Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Dr Azimah Abdullah, 46.