Pelajar tahun akhir Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, Ashraf Daniel Anuar terpilih antara 20 pencipta kandungan ASEAN Live Creators for Change sekali gus menerima geran berjumlah USD 1000 (lebih RM4,000) dan bimbingan daripada ASEAN Foundation.
Menerusi pemilihan itu, Ashraf Daniel akan bersiaran secara langsung melalui platform TikTok selama enam bulan berkenaan topik-topik sosiobudaya yang relevan terhadap wilayah ASEAN.
Pengarah KV Keningau, Lumang Anak Lang menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian pelajar tersebut sejajar dengan misi pendidikan KV iaitu pelajar harus proaktif menguasai trend masa kini.
"Mereka bukan sahaja perlu memainkan peranan sebagai pengguna kandungan digital yang bijak tetapi juga pencipta kandungan digital berkualiti dan berfaedah," katanya.
Terdahulu, Ashraf Daniel yang merupakan pelajar program Bakeri dan Pastri KV Keningau telah menghantar penyertaan video di TikTok dengan mengetengahkan tiga aspek utama iaitu tarian tradisional, makanan tradisional dan penulisan karya seni.
Dia turut merakam klip pendek mengenai persembahan tarian etnik dan memperagakan baju tradisional Bajau-Samah dalam video berdurasi hampir 60 saat.
Selain TikTok, Ashraf Daniel juga aktif dalam pelbagai bidang di KV Keningau antaranya sering menyertai pertandingan kemahiran, persembahan tarian dan berjaya menerbitkan karya puisi dalam majalah bahasa Inggeris.