Kempen Keselamatan Dalam Talian antara diperluas ke sekolah rendah & menengah

Iklan
Kementerian Komunikasi menyasarkan kempen digerakkan ke 10,000 sekolah rendah dan menengah serta sejumlah IPT menjelang hujung tahun ini.

Kempen Keselamatan Dalam Talian merupakan antara program flagship Kementerian Komunikasi pada tahun ini, bagi memastikan penggunaan internet yang lebih selamat untuk semua lapisan masyarakat.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian yang telah dilancarkan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 21 Januari lalu akan diperluas ke sekolah rendah dan menengah.

Iklan
Iklan

"Perlu (ada) mesej jelas pastikan internet bukan hanya lebih murah, lebih meluas, lebih laju tapi paling penting lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga kita," katanya kepada media selepas majlis perhimpunan bulanan kementerian, di Putrajaya pada Khamis.

Hadir sama pada perhimpunan bulanan itu adalah Timbalannya, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Iklan

FAHMI

Fahmi berkata, kempen itu dimulakan dengan fokus kepada universiti awam melibatkan pelajar dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), yang dilihat mampu membawa mesej kempen keselamatan dalam talian ke seluruh pelosok kampus di seluruh negara.

Iklan

"Selepas ini, usaha kempen perlu membina modul bagi beberapa lapisan. Kita fokus kepada universiti awam sebagai permulaan dan diikuti dengan usaha membawa kempen ini ke sekolah-sekolah.

"Harapan saya di peringkat sekolah, mesej yang boleh disampaikan bagi sekolah rendah ialah anak-anak berumur bawah umur 13 tahun Say No to Social Media dan di peringkat sekolah menengah (mesej) memanfaatkan (internet) dengan selamat supaya tidak jadi mangsa scam, mangsa pedofilia. Gunakan internet khususnya media sosial dengan selamat dan bijak," katanya.

Kementerian Komunikasi menurutnya menyasarkan kempen itu dapat digerakkan ke 10,000 sekolah rendah dan menengah serta sejumlah institusi pengajian tinggi (IPT) menjelang hujung tahun ini.

Beliau berkata, pasukan yang dilatih seterusnya dapat pergi ke masjid, surau dan tempat ibadat, persatuan penduduk serta rukun tetangga untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran keselamatan dalam talian dalam kalangan semua lapisan masyarakat.

Fahmi berkata, beliau juga meminta KSU untuk menjemput pasukan dari pelbagai agensi memandangkan isu keselamatan dalam talian bukan hanya melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tetapi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan platform media sosial. - Bernama