Gubahan bunga graduan UUM buruan golongan kenamaan

Iklan
Muhammad Tasnim bersama bunga yang digubah di lobi sebuah hotel bertaraf lima bintang.

Minat yang mendalam dalam bidang gubahan bunga menjadikan seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Perbankan terus menyertai bidang itu selepas tamat pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Muhammad Tasnim Ibrahim, 33, memulakan kerjayanya sebagai penggubah bunga lebih empat tahun lalu dan kini mampu menghasilkan gubahan sehingga mencecah ribuan ringgit.

Iklan
Iklan

Mengakui tidak pernah bekerja dalam bidang pengajian yang diambil ketika di universiti, Muhammad Tasnim kini sudah mempunyai ramai pelanggan tetap termasuk golongan istana dan kenamaan selain hotel bertaraf lima bintang.

"Saya juga tidak kekok berkecimpung dalam bidang yang dipelopori golongan wanita kerana meminati seni gubahan selain ramai lelaki yang kini mendominasi gubahan bunga," katanya.

Iklan

Katanya lagi, walaupun mahir menggubah pelbagai jenis bunga namun beliau banyak memberi fokus kepada gubahan orkid selain ikebana.

Bapa kepada dua anak ini menjelaskan, orkid mempunyai ramai peminat kerana lebih 'versatile' dan ringkas berbanding jenis bunga lain yang bermusim.

Muhammad Tasnim menyiapkan gubahan bunga untuk satu program di Kuala Lumpur.

Iklan

Muhammad Tasnim memberitahu, kerjaya sebagai penggubah bunga bermula selepas dia membantu rakan menguruskan butik pengantin dan pelamin.

"Saya kemudian mengikut seorang rakan membeli bunga dan menggubahnya untuk hiasan di rumah keluarga sebelum menerima permintaan rakan-rakan," katanya.

Menurut anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, setiap gubahan perlu memenuhi kehendak dan cita rasa pelanggan namun beliau akan meneliti kesesuaian ruang untuk menempatkan bunga supaya lebih menarik dan tampak 'hidup'.

Beliau yang juga mahir menggubah bunga hidup bersyukur kerana pelanggan yang ditemui biasanya tidak banyak karenah dan bersetuju dengan setiap gubahan yang ditunjukkan.

Bunga gubahan Muhammad Tasnim mendapat sambutan pada musim perayaan dan mampu dijual antara 30 hingga 50 pasu setiap hari sepanjang Ramadan.

Bunga orkid yang digubah oleh Muhammad Tasnim.

"Saya mengambil bekalan bunga dari China, Bangkok dan beberapa pembekal di negara ini dan memilih hanya bunga berkualiti supaya tahan lebih lama," katanya.

Muhammad Tasnim juga bertuah kerana mendapat sokongan isteri, Nadia Eliana Azizul Hakim, 28, yang banyak membantu memasarkan bunga yang digubah.