24 jenis sekolah menengah di Malaysia, mana satu pilihan pelajar?

Iklan
SBP dan MRSM adalah antara sekolah menengah yang ada di negara ini.

Malaysia merupakan sebuah negara yang menitikberatkan pembangunan pendidikan dan ia terbukti dengan kewujudan pelbagai sekolah menengah pada ketika ini.

Sebagai contoh, Sekolah Berasrama Penuh (SBP), sekolah menengah teknik, sekolah agama dan sekolah antarabangsa antara sekolah menengah yang ditawarkan kepada para pelajar.

Iklan
Iklan

Dalam konteks ini, ibu bapa dan penjaga merupakan individu yang sering berdepan dengan dilema dalam memilih institusi paling sesuai untuk memenuhi keperluan akademik, kokurikulum dan perkembangan peribadi anak masing-masing.

Bagi membantu mereka mencari sekolah terbaik buat anak, pengguna TikTok, @penjelasanilmiah telah berkongsi sebuah video mengenai senarai sekolah menengah yang terdapat di negara ini.

Iklan

Video yang dimuat naik di platform TikTok itu cukup membantu ibu bapa dan penjaga dalam membuat pilihan sekolah menengah untuk pelajar.

24 sekolah menengah yang dimaksudkan @penjelasanilmiah terdiri daripada:

Iklan

1) SBP

- Sekolah elit yang menekankan keseluruhan kecemerlangan akademik, kokurikulum dan pembangunan sahsiah pelajar berdepan dengan cabaran dunia di era globalisasi ini.

2) Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)

- SBP di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang menumpukan kepada pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta kecemerlangan akademik.

3) Sekolah Kluster Kecemerlangan (SKK)

- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang diiktiraf atau dipilih kerana kecemerlangan dalam bidang tertentu seperti akademik, kokurikulum atau inovasi.

4) Maktab Tentera Diraja (MTD)

- Sekolah asrama yang menggabungkan pendidikan akademik dan latihan ketenteraan untuk membentuk pemimpin masa depan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

5) Sekolah Menengah Agama/Maahad (SMA)

- Tumpuan kepada pendidikan agama secara mendalam dan mungkin kurang mengikuti kurikulum kebangsaan sepenuhnya. Di bawah kerajaan negeri, jabatan agama Islam atau yayasan.

6) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)

- Lebih kepada sekolah kebangsaan (SK) dengan penekanan tambahan kepada agama Islam. Di bawah KPM.

7) Sekolah Menengah Teknik (SMT)

- Sekolah yang menawarkan kursus teknikal seperti pengajian kejuruteraan awam, mekanikal dan sebagainya. Melahirkan pelajar yang memahami bidang teknikal dengan mendalam.

8) Kolej Vokasional (KV)

- Sekolah yang menyediakan pendidikan berorientasi kemahiran dan latihan praktikal untuk laluan kerjaya tertentu. Menghasilkan pelajar yang siap untuk bekerja di industri.

9) Sekolah Seni Malaysia (SSeM)

- Sekolah untuk pelajar yang sangat berbakat dalam bidang seni dan persembahan seperti mahir memainkan peralatan muzik, nyanyian, tarian, seni visual, grafik, media dan teater.

10) Sekolah Menengah Sains (SMS)

- SMS adalah sebahagian daripada SBP. Lebih menumpukan kepada pendidikan STEM. Terdapat sekolah SBP yang tidak memfokuskan STEM sebaliknya Bahasa dan Kemanusiaan.

11) Sekolah Menengah Katholik/Methodist

- Sekolah mubaligh Kristian mempunyai misi yang menekankan nilai keagamaan tertentu sambil menyediakan pendidikan arus perdana.

12) Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK)

- Ia diklasifikasikan sebagai sekolah bantuan kerajaan. Ia adalah dalam pentadbiran kerajaan dan menekankan pengajaran dalam bahasa Tamil atau Mandarin sebagai bahasa pengantar.

13) Sekolah Sukan Malaysia

- Sekolah khas untuk pelajar yang berbakat dalam sukan dan melibatkan diri dalam latihan intensif. Ia bertujuan melahirkan atlet yang berdaya saing di peringkat global.

14) Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)

- Pada awalnya, sekolah ini adalah sekolah kerajaan negeri atau swasta namun ia dilihat berpotensi dan terus diambil oleh kerajaan dengan memberi penekanan dalam bidang agama.

15) Sekolah Premier

- Diiktiraf kerana sejarah dan tradisi serta pencapaian yang konsisten dalam semua aspek. Biasanya, telah wujud sebelum kemerdekaan dan disokong kuat oleh alumni dari segi kemudahan.

16) SMK Berprestasi Tinggi

- Mempunyai transformasi, etos, watak, identiti tersendiri dan unik serta menyerlah dalam semua aspek pendidikan termasuk diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

17) Sekolah Antarabangsa

- Menawarkan sistem pendidikan berdasarkan kurikulum antarabangsa seperti International General Certificate of Secondary Education (IGCSE). Bahasa pengantar adalah bahasa Inggeris untuk mempersiapkan pelajar memasuki universiti di peringkat global.

18) Sekolah Dalam Hospital (SDH)

- KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran. Sekolah ini memberikan pendidikan kepada pelajar yang sedang menjalani rawatan di hospital.

19) Sekolah Permata Pintar (GENIUS @ Pintar)

- Bertujuan mengenal pasti dan membangunkan bakat pelajar pintar cerdas di Malaysia. Sekolah dengan fasiliti bertaraf universiti ini memberi penekanan kepada kreatif dan inovatif.

20) Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional

- Menawarkan latihan kemahiran yang tidak terlalu menekankan penggunaan teknologi tinggi tetapi lebih kepada pengurusan dan kemahiran seharian kepada pelajar berstatus orang kurang upaya (OKU).

21) Sekolah Bestari

- Menyediakan sebuah sekolah dengan kelengkapan teknologi maklumat (ICT) yang terkini dan menekankan penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berkonsepkan abad ke-21.

22) Sekolah swasta milik universiti

- Mempunyai fasiliti dan kemudahan yang baik dan dikelola sepenuhnya oleh universiti. Dapat memberi pendedahan awal kepada pelajar seperti pengalaman berada di universiti.

23) SMK Harian

- Sekolah arus perdana yang menyediakan pendidikan menengah rendah dan atas untuk semua kaum. Menekankan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan kurikulum berdasarkan KPM.

24) Sekolah Integriti

- Kerjasama KPM dan Jabatan Penjara Malaysia. Memberi peluang kepada pelajar yang berbakat dan berkebolehan tetapi salah pergaulan untuk mendapatkan kelayakan akademik.