Menjadi kebiasaan bagi setiap pelajar menjalani latihan industri sebagai persediaan menghadapi dunia pekerjaan sebenar.
Tujuannya adalah untuk memberikan pengalaman praktikal dalam bidang yang dipelajari, meningkatkan kefahaman terhadap amalan industri dan membangunkan kemahiran teknikal serta insaniah.
Baru-baru ini, pempengaruh media sosial dan usahawan terkenal, Khairul Aming berkongsi tip penting kepada pelajar yang sedang menjalani latihan industri di sesebuah syarikat.
Memetik potongan video di TikTok, Khairul Aming atau nama penuhnya, Khairul Amin Kamarulzaman berkata, pelajar intern perlu memberikan fokus kepada satu kemahiran sepanjang mereka menjalani latihan industri.
"Dua minggu pertama internship, anda boleh ikut apa yang supervisor (penyelia) mahukan namun nasihat saya, carilah satu skil yang awak rasa boleh belajar dalam tempoh latihan amali.
"Fokus dekat kemahiran itu dan cuba belajar sedalam yang boleh, tak naklah bercampur aduk sekejap fotostat kertas, sekejap buat air di pantry, sekejap urus event syarikat, join mesyuarat syarikat, isi borang dan macam-macam lagi,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Mekanikal), Universiti Vanderbilt, Amerika Syarikat di TikTok.
Ujar penerima Anugerah Ikon Inspirasi dan pemenang kategori People’s Choice: Creator Of The Year di Tik Tok Award 2023 ini lagi, pelajar intern dinasihatkan tidak menunggu sehingga diberikan tugasan oleh penyelia sebaliknya mereka boleh menimba pelbagai cabang ilmu daripada pekerja senior.
"Saya faham...kadang-kadang pelajar intern ini tidak dibenarkan membuat perkara yang berisiko tinggi, jadi syarikat hanya bagi kerja mudah.
"Tapi tak nak lah sepanjang praktikal, anda semua tidak belajar benda baru. Kalau boleh, fokus kepada satu kemahiran yang boleh develop. Cari seorang senior yang boleh bantu anda belajar.
"Jangan duduk dan ikut apa yang mereka suruh A sampai Z, ilmu kena berjuang untuk dapatkan," ujar Khairul Aming yang terkenal dengan produk Sambal Nyet dan Dendeng Nyet Berapi.