"Alhamdulillah, Nurin Hannani telah dijumpai dengan selamat. Terima kasih semua rakyat Malaysia yang mendoakan. ALLAH sebaik-baik perancang."
"Syukur, alhamdulillah. Semoga anak ini sentiasa dalam peliharaan ALLAH."
"Semoga ALLAH sentiasa melindungi dia yang satu-satunya pelajar tunggal beragama Islam di sana. Lindungi dan permudahkan urusan dia."
Demikian luahan syukur warga maya susulan penemuan pelajar Malaysia, Nurin Hannani Hafizi, 21, yang dilaporkan hilang di Hiroshima, Jepun sejak empat hari lalu.
Nurin Hannani yang sedang melanjutkan pengajian di sebuah institut pengajian tinggi di Kure Kosen, Hiroshima, Jepun telah ditemui selamat di Tokyo petang tadi.
Menurut ibunya, Noor Afzan Abdul Razak, penemuan pelajar wanita itu melegakan perasaan mereka sekeluarga yang sedih dan bimbang sejak kehilangan dia.
"Saya bersyukur apabila diberitahu Nurin Hannani telah selamat ditemui di Tokyo dan pihak Kedutaan Malaysia di Jepun sedang menguruskan hal itu termasuk membawanya ke balai polis bagi pemakluman dia sudah ditemui.
"Dia dikatakan ditemui dalam keadaan keliru tetapi saya tidak tahu di mana dan siapa yang menemuinya,” katanya seperti dipetik menerusi portal tempatan.
Terdahulu, Nurin Hannani merupakan pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi kursus Kejuruteraan Alam Sekitar dan Perancangan Bandar di National Institute of Technology (KOSEN), Kure College.
Dia pelajar tunggal beragama Islam dan satu-satunya pelajar antarabangsa di institut itu yang berada pada tahun pertama pengajian sejak April tahun lalu.