Graduan perlu persiapkan diri dengan pengetahuan & kemahiran - Pro Canselor UPM

Iklan
Dr Ir Mohd Zohadie

Graduan perlu menyiapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan sejajar dengan dimensi teknologi terkini.

Pro Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Datuk Profesor Emeritus Dr Ir Mohd Zohadie Bardaie berkata, keterampilan dalam teknologi dan inovasi bukan sahaja menjadi keperluan tetapi satu kelebihan kompetitif dalam dunia yang semakin mencabar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, masyarakat dunia hari ini saling berlumba untuk menunjukkan kehebatan dalam penciptaan teknologi dan sistem maklumat terkini khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI) yang kini meningkatkan gaya hidup masyarakat.

Katanya, UPM komited untuk memperkukuh ekosistem inovasi melalui penerapan teknologi AI dalam pelbagai bidang khususnya pembelajaran dan pengajaran termasuk agenda keterjaminan makanan.

Iklan

"Kepakaran UPM dalam bidang kriptologi diiktiraf dengan pemberian dana oleh kerajaan semasa pembentangan Bajet 2025 baru-baru ini untuk menubuhkan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia.

"Ini bagi menyusul AI pengkomputeran kuantum sebagai persiapan mendepani ancaman keselamatan siber serba rumit untuk manfaat kepada masyarakat dan negara dengan kerjasama Agensi Keselamatan Siber Negara,” katanya.

Iklan

Selain itu, beliau berbangga dengan kejayaan UPM diberi kepercayaan untuk menerajui agenda keterjaminan makanan negara hasil pelancaran Blueprint Keterjaminan Makanan UPM pada 7 Jun 2024 dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

"Blueprint Keterjaminan Makanan UPM ini akan memacu strategi dan inisiatif terkini pertanian selaras perkembangan teknologi sekali gus membolehkan negara mencapai keterjaminan makanan yang mampan,” katanya.

Seiring dengan pelancaran tersebut, beliau berkata, Nexus Keterjaminan Makanan IPT telah ditubuhkan dalam kalangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta untuk memastikan mereka mengguna pakai Blueprint Keterjaminan Makanan UPM.

"Pelan tindakan ini menggarap misi untuk memberi sumbangan bermakna kepada isu keterjaminan makanan menerusi kecemerlangan akademik, impak signifikan penyelidikan dan inovasi serta keterlibatan komuniti dan industri," katanya pada Majlis Konvokesyen UPM ke-48 Sidang 2 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Keseniaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM.