Setiap aktiviti sukan atau riadah sudah semestinya mempunyai teknik asas yang perlu dikuasai bagi mencapai prestasi paling optimum.
Sekiranya tiada pengetahuan asas terhadap permainan itu, maka individu terbabit tidak mampu bersukan dengan cara yang betul.
Apabila ia melibatkan aktiviti renang dan keselamatan dalam air, teknik asas seperti pernafasan, apungan, tendangan kaki, tangan dan koordinasi badan perlu dimahirkan terlebih dahulu.
Penasihat dan mentor, Dr Noor Hamzani Farizan berkata, pada awalnya Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB) menghantar seramai 30 pelajar yang tidak mengetahui asas renang.
Namun selepas beberapa sesi bersama peserta, kata beliau, banyak perubahan yang dapat dilihat antaranya mereka mula berasa yakin untuk berada di dalam air.
"Secara jujurnya, banyak perubahan dan peningkatan yang telah mereka lakukan. Saya gembira dengan pencapaian mereka.
"Ini bermakna fasilitator iaitu anak didikan saya sudah buat yang terbaik untuk ajar golongan ini dengan betul,” katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari baru-baru ini.
Ditanya mengenai keyakinan melepaskan pelajar menguruskan projek Splash of Confidence Beyond Sight, Hamzani yang juga Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Pascasiswazah) Akademi Kecergasan Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menjawab, beliau akan memastikan anak didikannya mahir mengajar dan mengetahui asas renang secara mendalam.
"Mereka melakukan projek ini pada minggu ke-13 dan minggu ke-14, jadi sebelumnya saya memang ajar mereka teori dan praktikkan dalam kelas.
"Semasa dalam kelas saya, pelajar akan buat latihan secara berpasangan dengan salah seorangnya perlu tutup mata.
"Bagi saya, sesi latihan dalam kelas itu berjaya sebab mereka boleh mengajar orang-orang buta ini,” katanya.