Lokasi baharu janji pengalaman A Night at Karangkraf 2025 lebih menarik

Iklan
Lebih 50 peserta yang menyertai Yes! Night At The Library pada Disember tahun lalu. Gambar kecil: Zamri

Penetapan lokasi baharu program A Night at Karangkraf 2025 bertemakan 'Teen life, here I come' menjanjikan pengalaman aktiviti lebih menarik dan menyeronokkan kepada 100 peserta bertuah selain membuka peluang kepada mereka menyertai program itu.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, antara perkongsian dan aktiviti yang akan dilaksanakan termasuklah tatacara menguruskan diri dan kebersihan, permainan burung hantu dan sesi khas bersama pasukan polis.

Iklan
Iklan

"Program selama dua hari satu malam ini menyasarkan pelajar berusia 11 hingga 14 tahun bertujuan mengisi masa senggang cuti sekolah dengan aktiviti bermanfaat.

"Penganjuran program berkenaan juga susulan kejayaan program Yes! Night At The Library yang mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 50 peserta melalui aktiviti bermalam di perpustakaan.

Iklan

"Kali ini, peserta berpeluang bermalam di Kompleks Media Karangkraf dan turut berkesempatan merasai sendiri pengalaman lebih menarik serta berbeza daripada sebelumnya,” katanya pada Selasa.

A Night at Karangkraf 2025 'Teen life, here I come' akan berlangsung pada 12 dan 13 Februari ini adalah sebagai persediaan awal pelajar sekolah rendah untuk melangkah ke sekolah menengah.

Iklan

Dengan memfokuskan pendedahan tentang kaedah komunikasi, kebersihan diri, disiplin dan pengetahuan mengenai pengaruh rakan sebaya, ia akan menjadi program bermanfaat untuk diisi ketika cuti persekolahan.

Tambah Zamri, selain mendidik peserta dengan kaedah lebih menyeronokkan, terdapat pelbagai hadiah menarik juga ditawarkan untuk dimenangi.

"Peserta berpeluang membawa pulang set lengkap alat tulis, beg sekolah, cenderamata daripada GM Klang, baju program dan banyak lagi.

"Promosi program ini sedang rancak dilaksanakan dan saya berharap lebih ramai ibu bapa serta pelajar merebut peluang menjadi sebahagian daripada peserta.

"Justeru, program A Night at Karangkraf 2025 ini direka khusus bukan sahaja untuk membolehkan peserta bergembira dengan pelbagai aktiviti, tetapi juga bagi membantu ibu bapa mendidik anak-anak dalam pelbagai isu seperti kesihatan, bahaya rokok elektronik (vape) dan buli," katanya.