University of New South Wales, Sydney, Australia menerima kedatangan seorang lagi pelajar dari Malaysia, Ardini Aesah Mohd Kamil untuk menimba ilmu di universiti berprestij itu.
Merupakan bekas pelajar Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Lenggong, Perak, Ardini Aesah bakal mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang Food Science di pusat pengajian tinggi tersebut.
Menerusi hantaran dalam Facebook KKTM Lenggong, Ardini Aesah baru sahaja menamatkan pengajian Diploma Teknologi Kejuruteraan Biokimia (Makanan) dengan memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) yang cemerlang.
"Kecemerlangannya dapat dilihat menerusi pindahan kredit yang diperolehi di mana dia berjaya memendekkan tempoh pengajian ijazah daripada empat tahun kepada dua tahun lima bulan.
"Pencapaian ini bukan mudah untuk dicapai namun bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Melaka ini berjaya buktikan dirinya boleh.
"Tahniah Ardini Aesah. Semoga saudari berjaya membawa pulang segulung ijazah kelak," catat hantaran itu.
Kisah kejayaan dilakar Ardini Aesah membuktikan bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mempunyai nilai tinggi di peringkat antarabangsa.
Semoga lebih ramai graduan TVET terus mencapai kejayaan dan membawa nama negara ke mercu kegemilangan.