Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana syarikat atau perunding kewangan untuk menjalankan aktiviti mereka dalam fasiliti sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) diminta untuk lebih berhati-hati bagi menerima sebarang tawaran atau kehadiran pihak yang meragukan.
Beliau berkata, pihak pentadbir perlu merujuk dan mendapatkan kebenaran dahulu daripada KPM sebelum membenarkan pihak luar masuk ke dalam premis-premis KPM.
"Kalau boleh rujuk dahulu dengan KPM untuk kita pastikan orang-orang yang datang ini dengan niat yang betul atau mempunyai agenda-agenda lain.
"Ini mesti diambil tanggungjawab penuh di peringkat sekolah khususnya soal keselamatan dan apa sahaja yang ditawarkan perlu dilihat dengan bersungguh-sungguh kerana kita tidak mahu kesan dia lah seperti ini (menjadi mangsa scammer)," katanya pada Sabtu.
Beliau ditemui selepas menghadiri Program Ceria Ke Sekolah TNB 2025 di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Nibong Tebal, Pulau Pinang.
Hadir sama, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad (TNB) Pulau Pinang, Ir Ts Norhizami Abu Hasan.
Dalam majlis berkenaan, TNB menyerahkan sumbangan RM15,000 untuk diagihkan kepada 100 pelajar memerlukan di Parlimen Nibong Tebal untuk bantuan persekolahan.
Pada Khamis, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menuntut penjelasan daripada KPM berhubung sindiket tawaran pinjaman oleh syarikat perunding kewangan kepada penjawat awam terutamanya guru.
Beliau berkata, sepanjang pengetahuannya KPM tidak pernah membenarkan mana-mana pihak swasta untuk menggunakan sekolah dan guru bagi tujuan komersil, apatah lagi pelaburan.
Sebelum ini media melaporkan, ribuan penjawat awam termasuk guru terjebak dengan sindiket perunding kewangan yang tumpas dalam Ops Sky yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Siasatan dilakukan SPRM mendapati mangsa terbeban dengan hutang yang terlalu tinggi sehingga melebihi keupayaan pembayaran hutang mereka.
Mengulas mengenai perkara itu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, pihaknya juga telah mengambil maklum dengan aduan-aduan yang diterima terutama melibatkan guru-guru dan berharap tindakan segera dapat dibuat bagi membela nasib mereka yang menjadi mangsa.
"KPM menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa dan kita harap perkara ini dapat disiasat dengan segera supaya nasib penjawat awam ini, khususnya guru-guru kita dapat kita bela.
"Di peringkat kita memang kita ambil perhatian penuh dan sentiasa mengingatkan semua guru-guru, pegawai-pegawai untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan menangani daripada terjebak aktiviti ini," katanya lagi.