Politeknik Port Dickson (PPD) membuktikan kecemerlangannya sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) terkemuka apabila pelajar seni binanya diberi kepercayaan menghasilkan reka bentuk Masjid Al-Ehsaniah, Taman Intan Perdana, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Projek reka bentuk bernilai RM5 juta berkenaan dihasilkan menerusi bimbingan Centre of Architecture and Technology (CArT).
Majlis penyerahan lukisan reka bentuk terbabit telah disempurnakan Pengarah PPD, Hasan Mohd Sharif kepada Pengerusi Masjid Al-Ehsaniah, Md Nordin Ismail pada Khamis.
Masjid yang akan dibina semula ini direka bagi menampung kapasiti 1,600 jemaah berbanding sebelum ini yang hanya mampu memuatkan 1,100 jemaah pada satu masa.
Menurut Hasan, projek terbabit membuktikan kualiti dan daya saing pelajar TVET PPD dalam menghasilkan reka bentuk berkualiti tinggi.
"Kami sentiasa memberi ruang kepada pelajar untuk menyerlahkan keupayaan mereka dalam projek sebenar sebelum melangkah ke alam pekerjaan,"katanya.
Beliau berkata, ia membuktikan pelajar TVET bukan sahaja memenuhi keperluan industri tetapi juga mampu menyumbang kepada masyarakat secara langsung.
Jelasnya, projek itu turut menepati aspirasi Dasar TVET Madani yang menekankan pembangunan modal insan berkualiti, melahirkan graduan TVET berkemahiran tinggi dalam bidang seni bina dan kejuruteraan.
"Hubungan erat dengan industri juga memastikan pembelajaran di PPD selari dengan keperluan industri pembinaan dan pembangunan hartanah.
"Kolaborasi institusi dan masyarakat dapat memperkukuh hubungan antara institusi TVET dan komuniti setempat dalam pembangunan kemudahan awam," katanya.
Tambahnya, dengan penglibatan dalam projek bernilai tinggi seperti itu pelajar bukan sahaja dapat memperkukuh kemahiran teknikal tetapi juga menonjolkan peranan mereka dalam pembangunan masyarakat dan negara.
Sementara itu, Pengurus CArT, Dr Setiawan Hardono berkata, projek terbabit selari dengan Hala Tuju CArT 2025-2030 dalam memperkukuh kemahiran teknikal dan profesional pelajar melalui aplikasi dunia sebenar.
"Projek ini bukan sahaja mengasah kemahiran teknikal pelajar dalam seni bina dan kejuruteraan bangunan, malah memberi pendedahan kepada mereka dalam aspek profesionalisme, komunikasi dengan klien serta pengurusan projek berskala besar," katanya.