Sesi persekolahan sudah bermula, ibu bapa sediakanlah sarapan pagi bernutrisi

Iklan
Sarapan pagi dengan nutrisi berkhasiat, mampu membekalkan tenaga dan membolehkan pelajar fokus kepada pembelajaran sepanjang sesi persekolahan. (Gambar hiasan)

Makanan berkhasiat bukan sekadar isu kesihatan tetapi faktor utama dalam menentukan kecemerlangan akademik pelajar.

Kanak-kanak yang mendapat makanan bernutrisi seimbang lebih cenderung memberikan tumpuan di dalam kelas, menunjukkan prestasi akademik yang lebih baik, serta memiliki daya tahan tubuh lebih kuat.

Iklan
Iklan

Pakar Perunding Pediatrik dan Kardiologi Pediatrik WQ Park Health and Rehabilitation Centre Kelana Jaya, Dr Yong Junina Fadzil berkata, sarapan pagi dengan nutrisi berkhasiat, mampu membekalkan tenaga dan membolehkan pelajar fokus kepada pembelajaran sepanjang sesi persekolahan.

"Makanan yang mudah disediakan terutama sekali bagi ibu bapa yang bekerja seperti bijirin, susu dan roti untuk sarapan, adalah bersesuaian dalam melengkapkan tenaga anak-anak di sekolah.

Iklan

"Nutrisi yang seimbang akan membuatkan mereka membesar pada kadar yang normal dan aktif, selain minda mereka juga lebih aktif serta mempunyai tahap tumbesaran dan berat badan normal serta risiko sakit yang rendah," katanya.

Sehubungan itu, Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan menyarankan ibu bapa, supaya menyediakan sarapan pagi kepada anak-anak sebelum ke sekolah meskipun menghadapi kekangan masa akibat kerja.

Iklan

"Walaupun masing-masing hadapi kekangan masa...boleh disediakan menu mudah asalkan dapat mengalas perut anak-anak sebelum ke sekolah," katanya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya satu jawatankuasa bersama dibentuk, antaranya melibatkan PIBGN dan pengusaha kantin sekolah bagi memastikan makanan yang dijual di kantin, berkhasiat dengan harga berpatutan.

Mohamad Ali berkata, harga makanan yang berpatutan juga dapat membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, dalam meringankan beban mereka akibat kenaikan kos sara hidup.

"Bukan hanya di sekolah, jawatankuasa ini juga boleh memantau penjaja-penjaja yang menjual makanan atau snek di luar sekolah. Kita nak pastikan makanan yang dijual tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan mereka," katanya. - Bernama