Mayat seorang lagi pelajar sekolah yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam Sungai Perak dekat Kampung Tepus, Tanjung Belanja, Parit, Perak pada Isnin telah ditemui.
Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain, 16, dijumpai pasukan penyelamat jam 7 petang pada Selasa.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, remaja terbabit ditemukan tidak jauh dari jasad rakannya, Muhammad Nazrin Haidar Mohd Hisham, 16, yang ditemui pada jam 4.45 petang.
Menurutnya, anjing Unit Pengesan (K9) JBPM telah mengenal pasti titik lokasi mangsa sebelum Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) membuat selaman.
"Sehingga jam 6.30 petang, mangsa ketika itu gagal dikesan.
"Usaha kemudiannya diteruskan dengan membuat olakan air menggunakan bot menyebabkan mangsa timbul dan berjaya ditemui," katanya.
Beliau berkata, dengan penemuan tersebut, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 7.30 malam.
Dalam kejadian sekitar jam 4 petang itu, kedua-dua mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muhammad Shah hilang dibawa arus ketika cuba mengambil bola yang jatuh ke dalam sungai.
Sebelum kejadian, mangsa bersama tiga lagi rakan bermain bola di kawasan beting pasir sungai berkenaan.