Kejayaan sering diukur dengan pencapaian atau pengiktirafan daripada masyarakat, namun bagi pihak yang memberi bantuan dan sokongan sejak mula, ia dianggap satu kejayaan yang membanggakan.
Perkara ini juga dikongsi Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), Ahmad Azri Zainal Nor apabila beliau antara pihak terawal memberikan sokongan kepada Qaseh Rania Khairul Najib.
Qaseh Rania, 15, pemain bola sepak muda wanita negara itu berjaya memikat pihak kejurulatihan VfL Wolfsburg untuk memberikan tempat dalam pasukan belia kelab gergasi Eropah berkenaan.
Ia sekali gus menjadi satu kebanggaan buat negara apatah lagi Qaseh Rania merupakan pemain wanita pertama dari Asia yang berjaya memikat kelab Jerman itu.
Ahmad Azri berkata, masih ramai lagi anak-anak yang mempunyai bakat terpendam seperti Qaseh Rania namun tidak dikembangkan awal kerana tidak mengetahui saluran yang betul.
"Apabila Khairul Najib datang berjumpa saya untuk memaklumkan tentang bakat dan kehebatan anaknya, saya rasa rezekinya terbuka begitu.
"Saya lihat Qaseh Rania bermain sekitar 2022 dahulu, memang hebat budak ini dan saya rasa dia boleh pergi jauh.
"Kebiasaannya orang akan claim kalau dah berjaya, dah menang sesuatu. Biarlah saya tidak claim benda itu, yang penting kita bantu dari awal perjalanan
"Dan insya-ALLAH dengan sokongan keluarga, Wolfsburg akan bantu Rania di sana (Jerman),” katanya.
Menyedari potensi luar biasanya, German-Malaysian Institute (GMI) melantik pemain bola sepak wanita kebangsaan, Qaseh Rania menjadi duta institusi pendidikan dan MBI mengambilnya sebagai anak angkat.
Ketua Pegawai Eksekutif GMI, Ahmad Solihin Mohamed Yusoff berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian Qaseh Rania dalam arena bola sepak wanita.
Katanya, GMI yakin inisiatif tersebut membuka ruang untuk bekerjasama bagi memperkasakan belia di negara ini.
"Kami juga telah menyediakan kelas insentif Bahasa Jerman untuk mempersiapkan adik Rania ke Jerman tidak lama lagi,” katanya.