Tatkala kebanyakan remaja seusianya lena dibuai mimpi, jam 4.30 pagi menjadi detik permulaan rutin harian Haryz Irfan Wan Azrizul Azad di Maahad Tahfiz Al-Fateh, Batang Kali, Selangor.
Dalam keheningan subuh, lantunan ayat suci al-Quran menjadi irama pertama yang mengisi hari, mencerminkan disiplin tinggi dan komitmen luar biasa terhadap hafalan.
Pemilik nama Haryz Irfan ini berjaya mendapat syahadah peringkat tertinggi iaitu Syahadah Ula yang memerlukannya khatam 30 juzuk al-Quran dalam tempoh terhad dengan kesalahan minimum di hadapan panel pemeriksa.
Lebih mengagumkan, pelajar tingkatan empat itu berjaya menghabiskan bacaan hafazan al-Quran lebih kurang 18 jam sahaja.
Perjalanannya menuju Syahadah Ula bukan sekadar tentang mengingati ayat demi ayat, sebaliknya perjuangan panjang yang menuntut kekuatan rohani dan fizikal.
Maklum pihak Maahad Tahfiz Al-Fateh kepada Sinar Bestari, selain mengikuti sistem hafazan secara konsisten sejak 12 tahun, kini Haryz Irfan mengikuti Program Fast Track Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Dia akan menduduki peperiksaan penting itu tahun hadapan. Insya-ALLAH.
“Tahniah kami ucapkan kepada guru, ibu bapa, keluarga dan rakan seperjuangan yang menyokong adik Haryz Irfan sejak awal. Semoga kejayaan dia ini memberikan saham pahala berterusan,” kongsinya.
Selain itu, sepanjang tempoh 18 jam itu, Haryz Irfan berdepan tekanan berterusan, namun kekal tenang dan konsisten, hasil latihan disiplin yang dibina sejak awal pengajian tahfiz.
Lebih signifikan, pencapaian itu mengangkat peranan institusi tahfiz sebagai pusat pembentukan insan holistik bukan sahaja dari sudut keilmuan agama, malah pembangunan sahsiah dan kekuatan dalaman pelajar.
Kejayaan Haryz Irfan menjadi inspirasi kepada rakan-rakan dan bukti bahawa usaha berterusan, walaupun penuh cabaran, mampu membuahkan hasil luar biasa.
Sebak di penghujung surah
Hampir 18 jam tubuh dan minda diuji tanpa henti, setiap hela nafas terasa semakin berat ketika bacaan menghampiri penghujung surah.
Dalam ruang penilaian yang sunyi dan penuh ketegangan, lantunan ayat suci al-Quran terus bergema, meskipun keletihan jelas terpancar pada raut wajah seorang pelajar tahfiz muda.
Menurut perkongsian Mazlan Shafie, ketika mengalunkan surah-surah terakhir, Haryz Irfan sedaya upaya menahan sebak, menyusun semula emosi yang bergelora agar bacaan kekal tertib dan tidak terputus.
Saat itu, air mata bukanlah tanda kelemahan, sebaliknya lahir daripada rasa syukur, keinsafan dan kesungguhan yang terkumpul sepanjang perjalanan hafazan yang panjang.
“Saat ayat terakhir dibacakan, suasana yang tegang tadi serta-merta bertukar menjadi hiba.
“Dia yang gagah menahan lelah seharian itu akhirnya tewas dengan air mata kesyukuran. Akhirnya tepat jam 10.20 malam, segalanya selesai,” katanya.
Keputusan rasmi mencatatkan Haryz Irfan berjaya memperoleh pangkat Jayyid Jiddan dengan markah cemerlang 93.28 peratus, sekali gus layak menerima Syahadah Ula iaitu pengiktirafan tertinggi dalam bacaan hafazan 30 juzuk al-Quran.
Air mata kesyukuran yang akhirnya mengalir menjadi penutup kepada satu perjuangan rohani dan fizikal yang panjang.
Tambah Mazlan Shafie, di saat anak muda lain sibuk mengejar populariti di media sosial, pelajar ini memilih jalan sunyi untuk memartabatkan agama.
“Tahniah wahai pejuang al-Quran. Tangisanmu di penghujung majlis itu adalah tangisan paling mahal yang dicemburui oleh para malaikat di langit,” ujarnya.
Buat para pelajar di luar sana, kisah ini bukan sekadar tentang kejayaan menghafaz al-Quran, tetapi tentang kekuatan jiwa seorang pelajar yang belajar untuk sabar dan istiqamah.