Perkasa pengetahuan & kemahiran penyelidikan pensyarah Zon Timur

Iklan
Sebahagian peserta yang mengikuti Bengkel dan Seminar Pembentangan Penyelidikan Inovasi 2025 untuk Zon Timur baru-baru ini.

Lebih 40 pensyarah Kolej Komuniti dan Politeknik dari Kelantan, Terengganu dan Pahang mengikuti Bengkel dan Seminar Pembentangan Penyelidikan Inovasi 2025 untuk Zon Timur baru-baru ini.

Program anjuran Kolej Komuniti Paya Besar, Gambang, Pahang bertujuan memperkukuhkan budaya penyelidikan dan inovasi dalam kalangan pensyarah zon berkenaan.

Iklan
Iklan

Ia juga memberi peluang dan platform kepada mereka untuk menghasilkan kertas pembentangan penyelidikan yang berkualiti.

Selain itu, bengkel turut menyediakan ruang kepada peserta mempelajari kaedah penulisan penyelidikan inovasi yang sistematik dan mengikut garis panduan yang betul.

Iklan

Ini sekali gus membantu ahli akademik dalam menyediakan dokumen untuk memenuhi kriteria kenaikan pangkat mereka.

Pengarah program, Basliza Mohamad Noor berkata, bengkel dan seminar kali ini memberi tumpuan sepenuhnya kepada penyelidikan inovasi.

Iklan

"Penyelidikan inovasi bukan sahaja tertumpu pada bidang pengajaran dan pembelajaran (PdP) tetapi ia juga merangkumi aspek pengurusan pentadbiran institusi seperti Kolej Komuniti dan Politeknik.

"Inisiatif ini membuka ruang untuk pensyarah dalam menghasilkan idea inovatif yang dapat memberi impak positif kepada pelaksanaan tugas mereka sehari-hari," katanya kepada Sinar Bestari.

Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Paya Besar, Shuhaila Ibrahim mengharapkan setiap peserta terus berusaha untuk menghasilkan penulisan yang inovatif dan berkualiti.

"Saya yakin setiap idea dan inovasi mempunyai potensi untuk membawa perubahan besar dalam bidang masing-masing.

"Dengan penguasaan pengetahuan yang diperoleh, mereka dapat menghasilkan kertas penyelidikan yang lengkap dan berkualiti serta menyumbang kepada perkembangan budaya inovasi dalam dunia pendidikan tinggi di Malaysia," katanya.

INFO

1) Pensyarah Kolej Poly-Tech Mara, Kuala Lumpur, Ts Aizat Abd Aziz diumum pemenang kategori kertas penyelidikan terbaik menerusi tajuk Preventing Baby Fatalities in Cars Using Advanced BabyGuard Alert System

2) Pemenang kategori pembentang terbaik (Analisis Perbandingan Batik dan Ecoprint Impak Kepada Kesihatan dan Alam Sekitar) diberikan kepada Jamalil Azam Johari.

3) Wakil Politeknik Merlimau, Melaka iaitu Sr Dr Ayati Parmen dan Ts Dr Norhayati Abd Wahab @ Dul Ahad dijemput sebagai penceramah dan juri bagi Bengkel dan Seminar Pembentangan Penyelidikan Inovasi 2025 untuk Zon Timur.