Seramai 125 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dabong, Kuala Krai, Kelantan layak menerima bantuan zakat dalam Majlis Sumbangan Zakat Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Program CELIK Tenaga (Malaysia Energy Literacy Program - MELP) baru-baru ini.
Zakat yang diberikan dalam bentuk wang tunai itu telah diadakan di Dataran Koperasi SMK Dabong dan dihadiri warga sekolah tersebut.
Salah seorang penerima zakat, Nur Ariesya Mohd Ropi melahirkan penghargaan kepada TNB atas keprihatinan dan sumbangan yang telah disalurkan kepada pelajar yang memerlukan.
"Terima kasih kepada penyumbang. Bantuan ini bukan sahaja meringankan beban kami yang kurang berkemampuan tetapi juga mencerminkan komitmen TNB dalam memainkan peranan aktif untuk pembangunan masyarakat," kata Nur Ariesya.
Sementara itu, Pengurus Besar TNB Kelantan, Muhamad Azli Ab Rahim berkata, majlis yang diadakan di SMK Dabong adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka untuk para pelajar.
"Kami akan terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat terutamanya dalam bidang pendidikan khususnya kepada pelajar di kawasan luar bandar seperti di Dabong.
"Semoga sumbangan zakat ini dapat membantu anak-anak didik mendapatkan keperluan asas untuk pembelajaran mereka dan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan akademik masing-masing," katanya.
Untuk info, SMK Dabong merupakan sebuah sekolah menengah yang terletak di sebuah kawasan pedalaman dan dikelilingi keindahan alam semula jadi antaranya bukit-bukau dan sungai.
Sekolah ini berperanan penting dalam menyediakan pendidikan kepada pelajar dari kawasan luar bandar khususnya keluarga berpendapatan rendah.
Sebagai sebuah sekolah yang berfungsi untuk memenuhi keperluan pendidikan masyarakat setempat, SMK Dabong bukan sahaja menawarkan pembelajaran akademik tetapi ia juga menekankan aspek sahsiah dan kokurikulum.
Sekolah ini turut berusaha untuk membangunkan potensi pelajar melalui pelbagai program seperti sukan, kebudayaan dan aktiviti kepimpinan.