Projek BacaBaca dan BacaBaca+ kini memasuki tahun kelima dalam usaha meningkatkan kemahiran literasi dalam kalangan pelajar sekolah rendah. Program ini kembali untuk menggerakkan sukarelawan sebagai jurulatih membaca bagi sesi baharu mulai bulan April nanti.
Diterajui oleh Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan di Taylor’s University, inisiatif ini bertujuan memastikan pelajar menguasai kemahiran membaca bagi membina asas kejayaan akademik dan keyakinan mereka dalam dan luar bilik darjah.
Projek BacaBaca komited meningkatkan literasi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 hingga 9 tahun.
Program ini dijalankan melalui panggilan telefon atau persidangan video dalam talian, memastikan pembelajaran mudah akses.
Sejak tahun 2021, Projek BacaBaca telah memanfaatkan lebih 500 murid-murid sekolah. Dengan sokongan Yayasan Mah Sing, Projek BacaBaca kekal aktif dalam kalangan komuniti seperti Kampung Bokilong di Kota Belud, PPR Seri Alam, PPR Semarak, SJK(C) Chung Hwa, SK Bandar Sunway, SJK(T) Ladang Batu Ampat dan SJK(T) Seaport.
Ketua Projek BacaBaca dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan Taylor's University, Hema Letchmanan berkata, peluang untuk menjadi jurulatih membaca terbuka kepada semua kerana latihan akan disediakan.
"Asalkan anda mempunyai niat untuk mendidik kanak-kanak, kami mengalu-alukan penyertaan anda. Projek BacaBaca bukan sahaja meningkatkan hasil pembelajaran para si cilik tetapi juga memastikan pendidikan yang lebih inklusif bagi semua,” kata beliau.
Sebagai lanjutan inisiatif ini, Projek BacaBaca+ memfokuskan murid-murid berumur 11 dan 12 tahun dari sekolah rendah aliran Cina dan Tamil bagi membantu mereka mencapai Tahap Penguasaan (TP4 hingga TP6) bagi penilaian Bahasa Melayu. Inisiatif ini dijalankan secara bersemuka dalam kumpulan, untuk memastikan peralihan yang lebih lancar ke Tingkatan 1.
Dengan sokongan geran Yayasan Hasanah, Projek BacaBaca+ kini diperluaskan ke lima sekolah di Lembah Klang untuk 24 minggu. Sekolah-sekolah tersebut termasuk SK Bandar Sunway, SJT (T) Vivekananda, SJK (T) Ladang Batu Ampat, SJK (T) Ladang Effingham and SJK (T) Ladang Sungai Choh.
Tekad dan semangat membawa perubahan
Walaupun para pelajar ialah fokus utama program ini, namun kekuatan Projek BacaBaca terletak pada kumpulan jurulatih membaca yang berdedikasi.
Kumpulan sukarelawan ini merangkumi pelajar sekolah menengah, pesara, suri rumah dan golongan professional, berkerjasama untuk membawa perubahan kepada kehidupan kanak-kanak yang mengalami kemiskinan pembelajaran.
Jurulatih membaca paling senior, Dr Indra Pathmanthan tidak pernah membiarkan usia menjadi halangan untuk berbakti kepada masyarakat. Beliau yang kini berumur 87 tahun, merupakan seorang doktor perubatan yang bersara ingin menyumbang kepada golongan kanak-kanak ini, walaupun hanya selama 30 minit setiap minggu.
Pada mulanya, beliau menghadapi kesukaran berinteraksi dengan seorang pelajar yang mempunyai jangka perhatian yang pendek, kemudian mendapatkan panduan daripada penganjur Projek BacaBaca yang merupakan seorang guru berpengalaman.
"Selepas mengenali pelajar itu, saya menyedari akan minatnya terhadap aktiviti fizikal. Kemudian kita perkenalkan senaman ringkas di antara sesi bacaan untuk mengembalikan daya tumpuan pelajar tersebut. Hasilnya, kemahiran murid tersebut dalam bahasa Melayu meningkat dengan ketara. Ia turut menaikkan tahap keyakinan dirinya,” jelas beliau.
Walaupun menghadapi cabaran seperti kekurangan akses kepada peranti digital dan sambungan internet, kesungguhan pelajar itu serta sokongan daripada penganjur Projek BacaBaca telah mendorong kemajuannya.
"Senyumannya yang penuh semangat dan usaha untuk membaca dengan lancar memberi saya motivasi untuk terus membantu,” katanya.
Sementara itu, pelajar Taylor's University, Hani Nuraini Zaini berkata, pengalaman membimbing seorang kanak-kanak berusia 9 tahun telah menguatkan keputusannya untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan.
Menurut Hani, komitmennya semakin mendalam selepas perbincangan dalam kelas mengenai jurang pendidikan bersama pensyarah, Hema.
Hani kemudiannya menyertai Projek BacaBaca dan membantu seorang pelajar perempuan untuk membaca.
"Awalnya, dia pemalu dan sering gugup. Lama-kelamaan, saya menyedari bahawa ketidakyakinannya berpunca daripada ketakutan untuk melakukan kesilapan. Saya memberi dorongan dan meraikan setiap kejayaan. Selepas beberapa sesi latihan, dia mula menerima kaedah pembelajaran ini. Kesungguhannya untuk meningkatkan kemahiran membaca sangat menginspirasikan,” kongsi Hani.
Projek BacaBaca bukan sahaja meningkatkan kemahiran mengajar, kepimpinan dan kebolehsuaian Hani tetapi juga menanamkan penghargaan yang lebih mendalam terhadap sifat kolaboratif dalam pendidikan.
Pengalaman ini mendorongnya untuk mengajar kanak-kanak tanpa dokumen di Sarawak, menjalani latihan sebagai pendidik di sekolah anak-anak pelarian dan memperoleh peluang untuk melanjutkan pemahaman tentang program bacaan di Amerika Syarikat (AS).
Sebagai inspirasi untuk menyertai usaha menangani kemiskinan pembelajaran, Hani berkongsi bahawa perjalanannya bermula dengan satu langkah kecil."Mulakan dengan langkah pertama, kerana anda mungkin mencetus semangat seseorang pelajar untuk mempercayai dirinya sendiri,” katanya.
Dari saat suri rumah Sarah Zaharudin menghadiri sesi percubaan Projek BacaBaca+, beliau berinspirasi untuk menyertai program ini setelah melihat semangat pelajar untuk belajar walaupun menghadapi kesukaran membaca dan berturut dalam bahasa Melayu. Seorang pelajar khususnya, telah meyakinkan Sarah bahawa setiap kanak-kanak perlu diberi peluang yang sama rata.
"Pada tahun pertama saya sebagai sukarelawan, terdapat seorang pelajar lelaki yang nakal dan sering mengelak daripada membuat kerja. Kami bimbang tentang masa depannya, tetapi dia lulus penilaian dan melanjutkan ke Tingkatan 1.
"Setahun kemudian, saya dimaklumkan bahawa remaja itu telah dilantik sebagai ketua kelas! Pengalaman tersebut mengajar saya bahawa semua kanak-kanak perlu diberi peluang kerana setiap individu berkembang melalui jangkamasa yang berlainan,” kata Sarah.
Sarah juga berkongsi satu kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika melihat keputusan ujian akhir murid-muridnya.
"Berbanding dengan markah awal mereka, saya melihat peningkatan ketara dalam kemahiran Bahasa Melayu mereka, dan saya terus menitiskan air mata kegembiraan. Saya begitu terharu apabila mendapat tahu bahawa setiap pelajar telah mencapai Tahap Penguasaan yang diperlukan dan tidak perlu di tempatkan di Kelas Peralihan,” kongsinya.