Mahasiswa UTeM ketuai Projek Kesukarelawanan di Terengganu

Iklan
Antara aktiviti bantuan pemulihan yang telah dilaksanakan adalah pemasangan lampu solar oleh mahasiswa terlibat.

Mahasiswa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah mengetuai sekumpulan 60 penuntut dari pelbagai universiti dalam menjayakan Projek Kesukarelawanan Mahasiswa Madani Intervarsiti Pasca-Monsun di Kampung Tok Saboh, Besut, Terengganu baru-baru ini.

Pengarah Program, Haziq Zainudin, 23, berkata, program ini merupakan inisiatif UTeM yang telah menggerakkan semangat kesukarelawanan mahasiswa-mahasiswa pelbagai universiti untuk menjayakan projek khidmat komuniti ini.

Iklan
Iklan

Katanya, beliau terpanggil untuk mengetuai misi berkenaan kerana menyelami realiti kegetiran dan kesukaran yang dihadapi penduduk di sana yang tentunya mengharapkan bantuan segera usaha membaik pulih prasarana yang masih terjejas akibat bencana sebelum ini.

Jelasnya, antara aktiviti bantuan pemulihan yang telah mereka laksanakan adalah pemasangan lampu solar, penambahbaikan infrastruktur balai raya dan menyediakan khidmat kesihatan melalui klinik bergerak.

Iklan

"Pada masa yang sama, kami turut mengambil peluang ini dengan memberikan pendedahan dan penerangan lanjut berhubung Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada anak-anak dan penduduk kampung tersebut dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Besut.

Kumpulan sukarelawan turut menjalankan kerja-kerja pemulihan infrastruktur balai raya.

"Kami beruntung kerana majoriti sukarelawan yang terlibat dalam projek ini terdiri daripada mahasiswa dari universiti di bawah rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), yang memiliki kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.

Iklan

"Justeru, agak mudah untuk kami mengaplikasikan kemahiran teknikal secara sistematik dan berfokus bagi melancarkan perjalanan operasi usaha pemulihan infrastruktur ini dengan jayanya," katanya.

Mengulas lanjut, penuntut Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik, UTeM ini menyatakan bahawa projek berkenaan bukan sekadar inisiatif sukarelawan biasa tetapi ia turut mendapat dokongan penyelidikan di bawah geran yang diketuai sendiri oleh Naib Canselor UTeM, Datuk Profesor Ts Dr Massila Kamalrudin.

"Program ini bersifat praktikal dan ia berpandukan kajian yang dijalankan, bagi memastikan setiap usaha menepati keperluan serta kehendak masyarakat setempat sekali gus menjadi platform kepada mahasiswa mengaplikasikan teori yang dipelajari dalam situasi sebenar," katanya lagi.

Sementara itu, Massila berkata, UTeM sentiasa ke hadapan dalam memperkasakan mahasiswanya untuk lebih holistik dan mampan bukan hanya dalam bidang akademik malahan turut memberikan kesan langsung kepada masyarakat.

Sukarelawan memberikan pendedahan dan penerangan lanjut berhubung TVET kepada anak-anak dan penduduk kampung.

"Inisiatif sebegini adalah selari dan seiringan dengan salah satu daripada fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tahun 2025 yang mana fokus pertama iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara yang menyentuh kepada kemenjadian mahasiswa.

"Bukan itu sahaja, uniknya projek sebegini bukan sahaja membuktikan keupayaan mahasiswa dalam menyumbang kepada masyarakat malah turut memperkukuhkan konsep Mahasiswa Madani,” ujarnya.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTeM, Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif, memuji inisiatif tersebut dan menegaskan bahawa pihak universiti sentiasa menyokong penuh penglibatan mahasiswa dalam program kesukarelawanan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Sebahagian penuntut yang menjayakan Projek Kesukarelawanan Mahasiswa Madani Intervarsiti Pasca-Monsun baru-baru ini.

"Misi bantuan ketika banjir memang sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sosial pelbagai pihak tetapi projek ini lebih istimewa kerana ia memfokuskan kepada sokongan pasca-banjir, yang sering kali kurang diberi perhatian di mana sokongan sebegini amat penting dalam membantu komuniti bangkit semula dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa," ujarnya.

Katanya lagi, menariknya, sebahagian besar lampu solar yang dipasang di balai raya, masjid dan sekolah di kampung tersebut merupakan hasil projek mahasiswa UTeM sendiri yang dibiayai alumni UTeM sebagai tanda sokongan terhadap usaha berimpak tinggi ini.