Kelab Kebajikan Pejabat Komunikasi Strategik Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyampaikan sumbangan kurma kepada semua warga kerjanya sempena menyambut kedatangan Ramadan 1446H.
Sumbangan sebanyak 70 pek kurma itu disempurnakan Penolong Naib Canselor (Komunikasi Strategik), Profesor Dr Ismie Roha Mohamed Jais dan Pengerusi Kelab, Muhammad Irsyad Mohd Ramzan kepada semua kakitangan mereka Jumaat lalu.
Menurut Muhammad Irsyad, penyerahan sumbangan kurma berkenaan adalah salah satu aktiviti yang telah dirancang oleh kelab bagi menyantuni warga kerja Pejabat Komunikasi Strategik UiTM.
"Diharapkan aktiviti ini dapat mengeratkan lagi ukhwah antara mereka dan menyemarakkan suasana serta semangat Ramadan 2025.
"Semoga ia diteruskan pada masa akan datang dengan lebih banyak penyertaan dan sumbangan daripada ahli kelab,” ujarnya.
Terdahulu, projek kurma tersebut merupakan inisiatif amal yang dianjurkan Kelab Kebajikan Pejabat Komunikasi Strategik UiTM melalui Program Mau'izah.