STEM @ UniMadani bantu pelajar berfikir secara logik, selesai masalah & berinovasi

Iklan
Program yang mendapat tajaan penuh melalui geran penyelidikan Komuniti @ UniMadani dari MoF menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk semua peserta.

Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) memainkan peranan penting dalam membentuk minda kritis, kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar.

Pada era digital ini, kemahiran STEM bukan sahaja diperlukan untuk kerjaya masa depan tetapi juga menyelesaikan masalah global seperti perubahan iklim, ketidakadilan sosial dan kemerosotan alam sekitar.

Iklan
Iklan

Melalui pendidikan STEM juga, pelajar dapat mempelajari cara berfikir secara logik, menyelesaikan masalah dan berinovasi.

Ini amat penting bagi generasi muda terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), untuk mendapatkan peluang yang sama dan bersaing di peringkat global.

Iklan

Baru-baru ini, program STEM @ UniMadani: Pengukuhan Pendidikan STEM untuk Generasi Muda telah dilaksanakan bertujuan memperkasakan pendidikan STEM dalam kalangan pelajar B40.

Program anjuran Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Projek Yusuff dikhususkan kepada pelajar yang tinggal di Program Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, Kuala Lumpur dan murid Sekolah Kebangsaan (2) Sultan Alam Shah, Petaling Jaya, Selangor.

Iklan

Menurut Penasihat Program, Profesor Madya Ir Dr Khairunnisa Hasikin, STEM @ UniMadani bukan sekadar mengajar sains dan teknologi, tetapi tentang membuka minda pelajar untuk melihat potensi mereka dalam menyelesaikan masalah global.

Ujarnya, melalui kerjasama dengan komuniti dan sokongan kewangan dari Kementerian Kewangan Malaysia (MoF), mereka berharap dapat melahirkan generasi muda yang celik teknologi dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Beliau yang juga Pengetua, Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah, UM berkata, program yang mendapat tajaan penuh melalui geran penyelidikan Komuniti @ UniMadani dari MoF menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk semua peserta.

"Antara yang disediakan adalah kelas robotik Bristlebot, pengaturcaraan Arduino, sukan pembelajaran dan lawatan sambil belajar ke tempat-tempat seperti Petrosains dan Pusat Sains Negara.

"Melalui aktiviti sebegini, pelajar bukan sahaja didedahkan kepada konsep asas STEM tetapi juga digalakkan untuk meneroka teknologi dan inovasi masa hadapan," jelas Khairunnisa.

Khairunnisa (kiri) dan Nur Sabrina (kanan)

Sementara itu, Pengarah Program, Nur Sabrina Amrul Hazli berkata, program tersebut turut melibatkan penyertaan sukarelawan dari UM yang terdiri daripada penuntut pelbagai jurusan.

Katanya, penglibatan mereka bukan sahaja memperkayakan pengalaman peserta tetapi juga memupuk semangat komuniti mahasiswa.

Dalam masa sama, Nur Sabrina turut memuji para peserta yang menunjukkan komitmen luar biasa sepanjang program berlangsung.

"Menerusi program ini, kami melihat bagaimana pelajar yang pada mulanya tidak berminat dengan sains dan matematik, kini mula menunjukkan minat mendalam.

"Aktiviti seperti membina Bristlebot dan memprogram Arduino bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga membuka minda mereka tentang bagaimana teknologi boleh digunakan dalam kehidupan seharian.

"Ini adalah langkah pertama untuk membina generasi yang lebih inovatif," ujarnya.

Akhir sekali, Nur Sabrina berkata, STEM @ UniMadani dengan kerjasama Projek Yusuff berjaya mencipta impak positif dalam memperkasakan pendidikan STEM pelajar B40.

"Program ini bukan sahaja meningkatkan minat pelajar terhadap STEM tetapi juga membina asas kukuh dalam menghadapi cabaran masa depan.

"Diharapkan ia dapat diteruskan dan diperluas agar lebih ramai pelajar dapat memanfaatkan peluang untuk meneroka potensi mereka dalam bidang teknologi dan inovasi," tuturnya.