Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Jalan Peel, Kuala Lumpur dilaporkan hilang sejak 11 hari lalu sehingga menimbulkan kebimbangan ahli keluarganya.
Nur Khalisya, 16, dilihat kali terakhir memakai baju rumah sukan berwarna biru, berseluar sukan hitam dan bertudung sekolah berwarna putih di SMK Convent Jalan Peel.
Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail, pihak polis mengesahkan menerima laporan orang hilang (Nur Khalisya) yang dibuat oleh ibu remaja tersebut.
"Ibu pelajar yang berusia 44 tahun telah membuat laporan polis pada pukul 11.29 malam (25 Februari) lalu dan memaklumkan telah menghantar anaknya ke sekolah pada jam 7 pagi.
"Kemudian, pada 4 petang wanita ini datang ke sekolah untuk mengambil anaknya pulang kerana remaja berkenaan memaklumkan mempunyai kelas tarian.
"Bagaimanapun, selepas menunggu hampir 40 minit, anaknya tidak muncul sebelum pengawal keselamatan sekolah memaklumkan tiada pelajar berada di kawasan sekolah pada waktu itu," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Mohamad Lazim berkata, ibu Nur Khalisya bertindak menghubungi rakan sekelas anaknya dan dimaklumkan remaja itu sudah pulang sendirian dengan berjalan dari kawasan Taman Permainan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana Jalan Peel, Kuala Lumpur, jam 5 petang.
Ujar beliau, usaha mengesan pelajar itu giat dijalankan dan orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kehilangan remaja tersebut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-9281 0715 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.