Keazaman dan semangat kesukanan tidak pernah luntur dalam diri pelajar yang bercita-cita tinggi untuk terus membawa sukan frisbee ke peringkat tertinggi.
Bagi mereka, kejayaan bukan sekadar hasil bakat semula jadi, namun ia datang bersama disiplin, ketekunan dan kegigihan dalam menempuh semua cabaran.
Penolong Pegawai Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Nor Shuhada Md Yusof berkata, pihak pengurusan institusi itu memberikan sepenuh sokongan kepada pemain sukan cakera terbang itu untuk membawa nama ke peringkat tertinggi.
Ini kerana pasukan yang telah ditubuhkan sejak tahun 2010, menyertai setiap kejohanan tempatan dan berusaha menempah nama dalam setiap pertandingan.
"Kejayaan yang paling penting pasukan adalah Malaysia Ultimate Open yang sebelum ini dikenali sebagai 'MUO' dan pasukan UiTM memenangi tempat ke-3 pada tahun 2018 buat kali pertama," katanya secara eksklusif kepada Sinar Bestari.
Nor Shuhada turut memaklumkan, apabila permainan cakera terbang itu mula mendapat pengiktirafan dalam kalangan pelajar, pihak pengurusan UiTM Shah Alam memberikan tajaan dan sokongan penuh kepada pasukan tersebut.
Lebih-lebih lagi, pasukan All Ultimate Roar (AUR) mengambil bahagian untuk merasai pengalaman bermain di peringkat antarabangsa iaitu Asia-Oceania Ultimate Club Championship di Singapore & Manila Spirit di Filipina.
"Kemudian, dua orang pemain dari pasukan AUR ini juga terpilih mewakili Malaysia dalam kejohanan WFDF 2024 World Ultimate Championships & World Guts Championships, bertempat di Gold Coast, Australia.
"Menariknya, pasukan Malaysia menerima anugerah Spirit Of The Game Award (Mixed Division).
"Meskipun tidak memenangi tetapi kami masih berbangga dengan pencapaian pelajar dan menempah nama di persada antarabangsa,” katanya.
Latihan lebih sistematik
Selepas melihat usaha pemain, Nor Shuhada memberitahu, latihan secara rasmi dimulakan dengan bimbingan jurulatih yang berkelayakan untuk membina pasukan lebih fokus.
Tidak hanya itu, jurulatih turut memberikan latihan yang mengunakan ilmu sains sukan yang lebih sistematik untuk mempersiapkan pasukan dalam pertandingan yang besar seperti Malaysia Ultimate Open (MUO) dan kejohanan peringkat antarabangsa lain.
"Kami juga ingin melihat pasukan Frisbee UiTM terus berkembang menjadi pasukan yang bertaraf antarabangsa.
"Pihak pusat sukan dan pengurusan universiti berharap agar sukan ini dapat diterima dengan lebih meluas dalam kalangan pelajar serta mencipta lebih banyak peluang untuk mereka bersaing di peringkat kebangsaan atau antarabangsa khususnya,” katanya.
Sukan frisbee yang semakin popular ini membuatkan pihak UiTM ingin terus melihat pembangunan dari segi kemahiran, infrastruktur dan sokongan yang boleh membantu pasukan AUR mencapai kejayaan.
Ia termasuk kejohanan secara terbuka dalam dan luar negara meskipun perlu menyertai setiap perlawanan dari bawah hingga peringkat tertinggi.
"Kami juga berharap sukan Frisbee dapat mencorakkan pelajar yang lebih holistik sekali gus menggalakkan mereka untuk terlibat dalam aktiviti yang sihat dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.