11 pelajar B40 berpeluang capai impian sebagai doktor, terima kasih Perdana University & Bin Zayed International!

Iklan
Shamir Kumar (tiga dari kanan) menyerahkan cek cura RM4.474 juta kepada Pengerusi, Lembaga Gabenor Perdana University, Fadhullah Suhaimi Abdul Malik sebagai simbolik kepada penajaan 11 pelajar cemerlang yang akan melanjutkan pengajian dalam program perubatan.

Perdana University dengan bangganya mengumumkan kerjasama strategik bersama Bin Zayed International (M) Berhad dalam memberikan biasiswa kepada 11 pelajar cemerlang daripada komuniti B40.

Inisiatif ini menjadi satu titik perubahan dalam kehidupan para pelajar yang layak, membolehkan mereka melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan tanpa terbeban oleh masalah kewangan.

Iklan
Iklan

Program biasiswa ini selari dengan misi Perdana University melahirkan bakat cemerlang yang mampu mencapai potensi intelektual sepenuhnya dan berkhidmat kepada masyarakat dengan profesionalisme serta integriti tinggi.

Dengan menjadikan pendidikan berkualiti lebih mudah diakses oleh pelajar dari komuniti kurang berkemampuan, universiti ini berusaha mengubah landskap pendidikan sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi keluarga mereka.

Iklan

Dalam satu mesej video sempena pelancaran program ini, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud meluahkan harapan agar biasiswa itu dapat membantu para pelajar membina masa depan yang cerah dalam bidang perubatan.

"Saya mengalu-alukan inisiatif dan sumbangan daripada Perdana University dan Bin Zayed International ini melalui Program Biasiswa Tahunan dalam merapatkan jurang pendidikan.

Iklan

"Selain membantu para pelajar membina masa depan dalam bidang perubatan, ia sekali gus menyumbang kepada usaha negara menyediakan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selesa dan mesra rakyat," kata beliau.

Shamir Kumar bergambar kenangan bersama 11 penerima Program Biasiswa Tahunan Bin Zayed International.

Sementara itu, Canselor Perdana University, Tan Sri Datuk Seri Dr Suleiman Mohamed menyuarakan rasa teruja mengenai kerjasama tersebut.

"Perkongsian antara Bin Zayed International dan Perdana University bukan sekadar biasiswa, ia adalah perubahan kehidupan. Dengan hampir RM5 juta dana yang diperuntukkan, seramai 11 rakyat Malaysia yang cemerlang kini mempunyai peluang untuk mengejar impian mereka menjadi doktor. Ini bukan sahaja satu pelaburan dalam masa depan mereka tetapi juga dalam masa depan sektor kesihatan negara," katanya.

Kata Suleiman lagi, Perdana University percaya bahawa dengan memberi peluang kepada pelajar daripada komuniti yang kurang bernasib baik, ia akan mencetuskan kesan positif yang lebih besar dalam membentuk masa depan yang lebih inklusif dan adil dalam dunia perubatan dan bidang lain.

Mengulas lanjut, Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Berhad, Datuk Sri Dr Shamir Kumar Nandy berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Perdana University dalam membuka peluang dan meningkatkan akses pendidikan tinggi dalam bidang perubatan.

"Melalui program biasiswa ini, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai pihak untuk terlibat dalam inisiatif amal dalam bidang pendidikan serta menunjukkan kuasa kolaborasi strategik,” ujar Shamir Kumar.

Dari kiri: Suleiman dan Shamir Kumar.

Sinar Bestari dimaklumkan, program biasiswa ini juga berfungsi sebagai seruan kepada institusi lain untuk turut serta dalam usaha merapatkan jurang pendidikan.

Sebagai info, Perdana University telah menerajui pendidikan perubatan selama lebih 14 tahun, sejak penubuhan sekolah perubatannya pada 2011. Sepanjang tempoh ini, universiti tersebut telah bekerjasama dengan institusi antarabangsa terkemuka dan mengadaptasi amalan terbaik bagi memastikan standard pendidikan perubatan yang bertaraf dunia.

Sehingga kini, lebih 400 graduan telah berjaya menamatkan pengajian di Perdana University, dengan ramai di antara mereka kini berkhidmat sebagai pegawai perubatan dan memberi impak nyata dalam sektor kesihatan.