Sebanyak 1,000 Ramadan Box akan diberikan kepada golongan memerlukan termasuk ibu tunggal dan keluarga berpendapatan rendah B40 di sekitar Daerah Kuala Nerus, Terengganu sepanjang Ramadan.
Presiden Persatuan Staf Akademik (PSA), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Profesor Dr Fauzilah Salleh berkata, pemberian dijalankan secara berperingkat itu diharapkan dapat meringankan beban bagi mereka menyambut Ramadan dan meningkatkan semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
"Sepanjang Ramadan ini, kita akan mengedarkan Ramadan Box kepada 1,000 penerima secara berfasa dan ini merupakan tahun ke-11 diadakan. Ramadan Box merangkumi barangan keperluan asas antaranya beras, gula, minyak masak dan tepung.
"Jadi, kami berharap sumbangan diberikan dapat menyemarakkan semangat berkongsi rezeki dan memperkukuh hubungan silaturahim sesama insan dalam suasana Ramadan penuh berkah," katanya pada Selasa.
Mengulas lanjut, Fauzilah berkata, menerusi program Ta’awun Ramadan 1446H: Ukhuwah Berkawah yang diadakan di Masjid UniSZA semalam, pihaknya memberi sumbangan Ramadan Box kepada dua ibu tunggal yang memerlukan sebagai simbolik penyerahan.
Beliau berkata, program berkenaan mendapat kerjasama Prudential BSN Takaful, PruBSN Prihatin dan Yayasan MyPrihatin.
Menurutnya, program itu bertujuan menggalakkan semangat gotong-royong dalam kalangan warga UniSZA dan masyarakat setempat dengan menyediakan juadah berbuka puasa secara bersama.
"Sebagai simbolik kebersamaan, seekor lembu disumbangkan pihak penganjur untuk dimasak secara gotong-royong dalam bentuk gulai kawah dan juadah.
"Kemudian, juadah dimasak dinikmati bersama dalam majlis iftar berjemaah yang berlangsung penuh meriah.
"Menerusi program ini, sesi penyampaian sumbangan Ramadan Box dan sumbangan makanan turut diadakan bagi membantu ibu tunggal dan golongan memerlukan serta sebagai tanda prihatin terhadap keadaan mereka," ujarnya.