Belajar di luar negara menjadi idaman ramai pelajar kerana ia membuka peluang luas untuk mengembangkan potensi diri.
Selain memperoleh pendidikan berkualiti, pelajar juga dapat meningkatkan kemahiran bahasa, memahami budaya baharu dan membina rangkaian antarabangsa yang bermanfaat untuk masa depan.
Pengalaman ini bukan sahaja melahirkan individu yang lebih berdikari, tetapi juga memberi kelebihan dalam dunia pekerjaan yang semakin kompetitif.
Tiga alumni Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang, Johor telah berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara berkat kecemerlangan mereka dalam bidang masing-masing.
Kejayaan ini membuktikan bahawa institusi kemahiran seperti KKTM mampu melahirkan pelajar yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
1)"Saya belajar di sini disebabkan RMIT University terkenal dengan hubungan industri dan pendekatan pembelajaran yang praktikal. Dalam masa sama, ia juga sebagai persiapan untuk saya menghadapi pasaran kerja global."
- Pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Bioperubatan) dengan Kepujian, Royal Melbourne Institute Of Technology (RMIT University), Australia, Muhammad Arif Isyraq Abd Karim, 22.
2)"Nak ikut jejak langkah ayah yang pernah belajar di luar negara satu ketika dahulu. Katanya, belajar di negara orang berbeza. Mereka lebih menekankan pemikiran kritikal dan tidak berlandas kepada hafalan sahaja. Penilaian juga dibuat berdasarkan kebolehan untuk menyelesaikan masalah dalam dunia nyata."
- Pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Elektrikal Dan Elektronik) dengan Kepujian, University of Auckland, New Zealand, Nor Aina Najihah Ahmad Hilmi, 23.
3)"Banyak kelebihan belajar dekat sini antaranya menawarkan pendidikan berbeza, dapat mengembangkan jaringan global dan kaedah pembelajaran terkini yang mungkin belum meluas di Malaysia."
- Pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Bioperubatan) dengan Kepujian, University of Technology Sydney, Australia, Nurfatin Aqilah Mohd Long, 24.