Pelajar dari Kolej Babson, Amerika Syarikat (AS) menimba pengalaman baharu apabila menjadi sukarelawan di Iftar Ala Madinah@Karangkraf pada Rabu.
Pengarah Eksekutif Institut Francais Tariq Farid Kolej Babson, Profesor Ab Igram berkata, selain menyediakan pek berbuka puasa kepada pengunjung, mereka dapat mengenali suasana berbuka puasa umat Islam di negara ini.
Ujar beliau, inisiatif program tersebut mencerminkan konsep perpaduan dan kasih sayang kepada masyarakat dengan membantu sesama mereka serta meraikan majlis berbuka puasa pada bulan Ramadan ini.
"Saya rasa sangat bersyukur dapat menyertai program ini. Ia merupakan satu pengalaman berharga buat pelajar dan tenaga pengajar yang mengikuti rombongan tersebut.
"Iftar Ala Madinah yang membawa konsep menyantuni dan menyediakan makanan berbuka puasa kepada masyarakat mencerminkan nilai syarikat Kumpulan Karangkraf sendiri. Kami gembira dapat jadi sebahagian daripada itu," katanya di Iftar Ala Madinah@Karangkraf pada Rabu.
Turut hadir, Murata Profesor Etika dalam Perniagaan Kolej Babson, Professor James Hoopes.
Rombongan terdiri daripada 20 pelajar, tiga pensyarah dan fasilitator serta wakil daripada syarikat BinaPavo @ kCommerce (M) Sdn Bhd (BinaPavo).
Menurut Igram, ia merupakan pengalaman kali pertama dapat menyertai dan menyaksikan sendiri penganjuran majlis iftar yang diadakan secara berskala besar.
Ulasnya, acara berkenaan juga memberi manfaat yang baik kepada komuniti dan menunjukkan bahawa pentingnya peranan manusia untuk membantu antara satu sama lain terutama mereka yang kurang bernasib baik.
"Saya fikir ia contoh kemanusiaan yang bagus untuk diikuti masyarakat seluruh dunia. Ia menunjukkan bahawa kita semua adalah satu.
"Mungkin ia menjadi sesuatu yang kita boleh laksanakan dalam kehidupan seharian untuk membantu orang lain dalam komuniti dan memberi manfaat kepada mereka,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden BinaPavo, Dr Mohar Yusof berkata, penganjuran Iftar Ala Madinah@Karangkraf tahun ini dilihat lebih teratur dan sistematik berbanding tahun sebelumnya.
"Ini kali ketiga saya datang ke program berkenaan dan saya lihat setiap tahun, ia menjadi lebih teratur dan sistematik.
"Saya pasti pelajar daripada Kolej Babson juga melihat ini sebagai satu persekitaran di mana kita dapat berjumpa dengan orang ramai, makan bersama-sama dan secara langsung ia menguatkan lagi hubungan kita dengan komuniti setempat,” ujarnya.
Kata Mohar, mendedahkan pelajar dengan aktiviti program tersebut membantu meluaskan lagi pengalaman mereka terhadap budaya dan agama Islam secara lebih mendalam terutamanya sempena bulan Ramadan.
Ujarnya, ia turut memberikan satu pengalaman unik kerana Iftar Ala Madinah@Karangkraf bukan sekadar program berbuka puasa semata-mata, tetapi juga membantu berkongsi rezeki serta manfaat sesama masyarakat secara keseluruhan.
"Memandangkan kebanyakan pelajar tidak pernah datang ke Malaysia, ia merupakan satu pengalaman yang amat berharga bagi mereka kerana dapat lihat sendiri betapa pentingnya nilai komuniti itu dalam umat Islam.
"Selain program iftar, rombongan pelajar ini juga dibawa melawat ke kilang percetakan dan studio lain sekitar kawasan syarikat ini bagi mempelajari selok-belok industri akbar tempatan.
"Saya harap agar Kumpulan Karangkraf juga dapat meneruskan lagi program seperti ini di masa depan iaitu dengan mencipta persekitaran yang dapat mengeratkan perpaduan masyarakat dan berkongsi rezeki dengan mereka," menurutnya.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Kewangan, Ally Bueno, 20, berkata, program itu memberikan satu pendedahan baharu dari segi peranan komuniti kepada syarikat itu sendiri.
"Dengan menjadi sukarelawan, kita dapat bertemu ramai orang, memahami budaya agama lain dan melihat aspek masyarakat secara keseluruhan,” ulasnya.
Menurutnya, sesi soal jawab bersama Pengasas yang kini Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub turut membantu berkongsi banyak ilmu berguna dan bermanfaat sebagai seorang usahawan.
"Beliau (Hussamuddin) pernah beritahu 99 peratus keputusan perniagaannya dibuat berdasarkan kepercayaan dan keyakinan teguh kepada agamanya.
"Jadi sangat bagus untuk melihat bagaimana pendekatan keputusan itu dibuat di syarikat Kumpulan Karangkraf berbanding dengan AS," jelasnya.