2 pelajar Politeknik Merlimau cedera terkena tali tangsi layang-layang

Iklan
Seorang pelajar mengalami cedera di bibir selepas didakwa melanggar tali tangsi layang-layang di Jalan Bandar Baru Merlimau Utara petang Jumaat lalu.

Dua pelajar perempuan Politeknik Merlimau, Melaka terpaksa mendapatkan rawatan ke klinik selepas cedera terkena tali tangsi ketika menunggang motosikal di Jalan Bandar Baru Merlimau Utara pada petang Jumaat lalu.

Kejadian lebih kurang jam 6.30 petang itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli juadah berbuka di bazar berhampiran.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Mohamad Rusli Mat berkata, setiba di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa berusia 20 tahun dipercayai telah terlanggar tali dipercayai tali tangsi layang-layang yang melintang di tengah jalan.

Menurutnya, susulan kejadian itu salah seorang daripada mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau.

Iklan

"Pengadu telah mengalami cedera ringan iaitu luka di bahagian jari dan leher manakala rakannya cedera di bahagian bibir dan tapak tangan.

"Kedua-dua mereka yang cedera telah mendapat rawatan di klinik berhampiran," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Mohamad Rusli berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku di Jalan Bandar Baru Merlimau, Kampung Merlimau Utara berhampiran Dataran Orang Kampung, tempat di mana layang-layang diterbangkan.

Ujarnya, orang ramai dinasihatkan mencari kawasan lapang yang sesuai untuk aktiviti riadah seperti ini sekali gus mengelak bermain berhampiran jalan raya, tiang elektrik atau tempat tinggi.

Terdahulu tular di media sosial Facebook gambar pelajar yang cedera dipercayai tersangkut tali layang-layang ketika menunggang motosikal.

Bagaimanapun sehingga kini pemilik layang-layang tersebut masih belum dapat dikenal pasti.