Status sebagai sebuah institusi pendidikan bukan sekadar memberi ilmu dan kemahiran kepada pelajar, sebaliknya Management and Science University (MSU) turut melaksanakan aktiviti komuniti sempena Ramadan ini.
Program MSU Ihya Ramadan 2025 anjuran universiti ini, berjaya menyantuni dan berkongsi rezeki bersama kelompok komuniti kurang bernasib baik, khususnya 20 buah rumah kebajikan membabitkan 200 penghuni di sekitar Lembah Klang.
Majlis Iftar MSU bersama anak-anak yatim di Dewan Canselor, Kampus MSU Shah Alam pada 14 Mac lalu itu, disempurnakan Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid, yang menyerahkan sumbangan wang zakat serta duit raya Yayasan MSU bernilai RM120,000 kepada rumah kebajikan dan penghuninya.
Hadir meraikan majlis ialah Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid; Naib Presiden Kanan Endowmen dan Komunikasi MSU, Datuk Rosli Yusof serta pengurusan kanan universiti.
Antara rumah kebajikan yang terlibat ialah Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Rumah Kebajikan dan Bimbingan At-Taqwa, Pusat Jagaan Amal Asyura, Madrasah Anak Yatim dan Tahfiz Al-Quran Hashimiah, Pusat Jagaan Baitul Hidayah, Rumah Amal Siraman Kasih, Pertubuhan Amal & Kebajikan Anak-Anak Tersisih Selangor, Pusat Jagaan Baiti Al-Jannah, Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ash-Shakur, Rumah Perlindungan dan Anak Yatim Safiyyah, Persatuan Kebajikan Anak Yatim Al-Munirah, Rumah Penyayang Ulin Nuha, Rumah Kasih Nurul Hasanah, Pusat Jagaan Kasih Murni, Pertubuhan Kebajikan & Pendidikan Nur Kasih, Rumah Penyayang Darul Ilmi, Baitul Ulfah Centre, Pusat Jagaan Rumah Bakti Nur Ain serta Pertubuhan Kebajikan Nurhati.
Secara keseluruhannya, hubungan antara MSU dan rumah-rumah kebajikan ini terjalin sejak tahun 2011.
Majlis penyerahan zakat dan duit raya itu merupakan acara tradisi MSU serta komitmen universiti untuk memenuhi tanggungjawab terhadap komuniti sekali gus menyuburkan budaya bersyukur serta memberi (2G Culture) warga kampus.
Program MSU Ihya Ramadan 2025 turut menyaksikan pelaksanaan pelbagai aktiviti warga kampus dan komuniti.
Antara aktiviti utama dijadualkan termasuk iftar harian melibatkan lebih 1,000 orang, agihan zakat Yayasan MSU, bazar, Quran Hour, tarawih dan qiamullail.
Turut diadakan majlis iftar khas ahli kelab dan persatuan, anak yatim, alumni MSU, pelajar antarabangsa, rakan industri dan pihak berkuasa, MSU Medical Centre serta Sekolah Bina Insan Yayasan MSU.