Dalam usaha menyemarakkan semangat kebersamaan dan kasih sayang di bulan Ramadan, Bahagian Zakat, Sedekah dan Wakaf (ZAWAF), Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menghulurkan sumbangan sebanyak RM4,000 kepada 40 anak yatim menerusi Program Sentuhan Kasih Ramadan baru-baru ini.
Berlangsung di Surau At-Taqwa, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor, Sentuhan Kasih Ramadan UiTM bertujuan membantu golongan memerlukan dan memberi keceriaan kepada anak-anak yatim menjelang Syawal.
Selain mereka, kelompok individu yang terdiri daripada 19 ibu tunggal, 14 warga asnaf dan 14 pelajar tahfiz turut mendapat bantuan diberikan Surau At-Taqwa.
Program anjuran Pejabat Komunikasi Strategik dan Pejabat Naib Canselor UiTM dengan kerjasama ZAWAF serta Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) dihadiri Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin.
Hadir sama barisan pengurusan universiti dan warga UiTM yang berganding bahu bersama masyarakat setempat dalam menjayakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan sepanjang Sentuhan Kasih Ramadan berlangsung.
Terdahulu, Sentuhan Kasih Ramadan merupakan inisiatif kemasyarakatan yang menekankan aspek permuafakatan antara UiTM dan komuniti setempat.
Program yang dahulunya dikenali Rewang Ramadan kini diperluaskan dengan pelbagai aktiviti menjurus kepada keterlibatan sosial dan amal kebajikan.
Pemilihan lokasi penganjuran (Surau At-Taqwa) dibuat berdasarkan kedudukan komuniti yang terdekat dengan UiTM, bagi memastikan manfaat program dapat dirasai oleh mereka.
Sentuhan Kasih Ramadan ini merangkumi beberapa aktiviti utama antaranya sesi tazkirah dan kelas aktiviti keagamaan bagi memperkaya ilmu rohani dalam kalangan peserta.
Agihan bubur lambuk secara pandu lalu kepada masyarakat setempat turut diadakan dan terbaharu, majlis berbuka puasa bersama barisan pengurusan UiTM dan komuniti setempat bagi mengeratkan hubungan silaturahim.