Pencapaian dua pelajar wanita dari Malaysia, Athena Siow dan Namira Lee Tzu, yang berjaya menempatkan diri di Kolej Harvard bagi Class of 2029 merupakan satu detik bersejarah yang memperlihatkan potensi luar biasa anak tempatan di persada pendidikan antarabangsa.
Athena yang berasal dari Kuala Lumpur dan bekas pelajar Kolej Yayasan Saad merupakan penerima biasiswa Yayasan UEM. Dia bakal mengambil jurusan Sains Politik (Data Science Track) di Kolej Harvard.
Manakala Namira, anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu dan lulusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hwa Wei Sin di sini, merupakan penerima Biasiswa Global Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah memilih jurusan Sains dan Kejuruteraan Alam Sekitar di kolej berkenaan.
Pencapaian menakjubkan mereka membuktikan pelajar Malaysia bukan sekadar 'pandai di atas kertas' sebaliknya turut memiliki nilai kepimpinan, empati dan semangat kesukarelawanan yang tinggi sepanjang pengajian.
Pada pandangan penulis, Athena dan Namira adalah lambang harapan dan bukti bahawa Malaysia tidak ketandusan bakat luar biasa.
Dengan sistem sokongan yang kukuh, pendedahan antarabangsa dan semangat juang yang tinggi, pelajar Malaysia berpotensi besar menjadi pemimpin global masa depan.
Kejayaan mereka harus diraikan dan dijadikan pemangkin kepada pembaharuan pendidikan dan pembangunan belia di negara ini.