Membina masa depan lestari

Iklan
Kira-kira 175 pelajar terdiri daripada sekolah menengah dan rendah sekitar daerah Setiu telah mengikuti program yang disifatkan sebagai platform penyebaran kempen kesedaran penjagaan alam sekitar.

Kelestarian alam sekitar adalah asas kesejahteraan manusia dan kesinambungan kehidupan di bumi.

Ia merangkumi usaha memelihara serta memulihara sumber semula jadi agar keperluan generasi kini dipenuhi tanpa menjejaskan hak generasi akan datang.

Iklan
Iklan

Prinsip ini selari dengan konsep pembangunan mampan yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan sosioekonomi dan perlindungan alam sekitar.

Setiap tahun, Hari Bumi disambut pada 22 April bagi meningkatkan kesedaran global tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan mengambil tindakan proaktif untuk melindunginya.

Iklan

Tema Hari Bumi 2025, Our Power, Our Planet yang menekankan aspek pembangunan tenaga boleh diperbaharui bagi mendepani ketidaktentuan iklim yang semakin meruncing.

Pendidikan alam sekitar harus diterapkan sejak kecil sama ada di rumah, sekolah mahupun komuniti bagi membentuk generasi yang lebih prihatin dan bertanggungjawab terhadap penjagaan alam sekitar.

Iklan

Sejajar dengan usaha ini, program pendidikan alam sekitar seperti EcoSmart Kids: Building a Sustainable Future memainkan peranan penting dalam mendidik generasi muda mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan impak pencemaran terhadap bumi.

Program itu telah dianjurkan oleh sekumpulan penyelidik dari Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan sokongan erat Ecoswed iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menggabungkan sukarelawan belia institusi pengajian tinggi (IPT) dan komuniti tempatan di Terengganu.

Bersesuaian dengan objektif penganjuran program, kira-kira 175 pelajar terdiri daripada sekolah menengah dan rendah sekitar daerah Setiu telah mengikuti program yang disifatkan sebagai platform penyebaran kempen kesedaran penjagaan alam sekitar.

Bertemakan pembelajaran interaktif di luar bilik darjah, program itu memberi tumpuan kepada biodiversiti dan pencemaran alam sekitar, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang telah digariskan pertubuhan antarabangsa iaitu SDG 4 - Pendidikan Berkualiti, SDG 13 - Tindakan Iklim, SDG 14 - Hidup di Bawah Air dan SDG 15 - Hidup di Darat.

Bukan sekadar pogram

EcoSmart Kids bukan hanya sekadar program, ia juga antara lain menyokong objektif sambutan Hari Bumi yang mana menekankan perlunya perubahan dalam cara manusia berinteraksi dengan alam sekitar, khususnya dalam menangani pencemaran plastik dan perubahan iklim.

Antara segmen yang diberi perhatian kepada peserta seperti kepentingan hutan paya bakau yang perlu dipelihara kerana berperanan besar dalam menangani perubahan iklim, terutamanya pemanasan global dan kenaikan aras laut.

Sesi libat sama secara interaktif antara pelajar berupaya memberi gambaran serta pemahaman bagaimana bakau membantu menstabilkan ekosistem pantai serta berfungsi sebagai benteng semula jadi daripada hakisan dan ribut taufan.

Selain itu, demonstrasi penanaman anak benih bakau oleh pihak Ecoswed memberi peluang kepada pelajar untuk belajar secara praktikal mengenai pemuliharaan ekosistem ini.

Aktiviti ini bertepatan dengan sambutan Hari Bumi yang menggalakkan pemuliharaan ekosistem sebagai langkah melindungi alam sekitar.

Kepelbagaian biologi turut diperkenalkan kepada peserta melibatkan fungsi biologi dalam ekosistem.

Pelajar-pelajar didedahkan dengan pelbagai jenis tumbuhan serta mempelajari kaedah pengkelasan secara visual melalui pameran poster dan spesimen.

Secara tidak langsung, peserta mempelajari akan kepelbagaian haiwan dan interaksi antara spesis dalam ekosistem alam semulajadi.

Melalui pemerhatian serangga dan debunga, mereka memahami hubungan pendebungaan dan keterjaminan makanan bagi manusia dan haiwan.

Cabaran utama

Konsep hubungan mutualisme, yang penting untuk kelangsungan spesies dan keseimbangan ekologi, turut diterangkan dalam segmen ini.

Dengan krisis kehilangan biodiversiti yang semakin membimbangkan, Hari Bumi menjadi peringatan kepada semua tentang betapa pentingnya memelihara kepelbagaian spesies yang membentuk keseimbangan ekosistem bumi.

Salah satu cabaran utama yang dihadapi dunia hari ini adalah pencemaran plastik, yang kini menjadi topik perbincangan hangat dunia.

Dalam segmen ini, pelajar diberi pemahaman tentang ancaman plastik terhadap alam sekitar, termasuk kesan jangka panjang mikroplastik terhadap ekosistem dan kesihatan manusia.

Mereka diberi pengetahuan mengenai pengurusan sisa plastik yang lebih sistematik melalui aktiviti pengasingan plastik mengikut kod kitar semula.

Selain itu, demonstrasi pencemaran mikroplastik di pantai memberi gambaran tentang bagaimana sisa plastik yang terurai akhirnya mencemari ekosistem marin yang akhirnya menjejaskan ekosistem dan kesihatan sejagat.

Pelajar juga berpeluang menjalankan analisis mikroplastik dalam sampel pasir pantai, yang memberikan kesedaran mendalam mengenai kesan pencemaran plastik di Malaysia.

Aktiviti ini menggalakkan mereka untuk mengamalkan gaya hidup lebih lestari dengan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna.

Penganjuran program seperti ini menjadi titik permulaan dalam membentuk generasi yang cakna terhadap alam sekitar, seterusnya menginspirasi mereka untuk berperanan aktif dalam melindungi bumi.

Bumi kita, tanggungjawab kita!

Maklumat Penulis:

Ketua Penyelidik, ESSG Grant - EcoSmart Kids: Building a Sustainable Future merangkap Pensyarah, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, UMT, Dr Siti Mariam Muhammad Nor

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my