Tidak semua remaja berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Persaingan ketat, syarat kemasukan yang mencabar dan tempat terhad menyebabkan ramai lepasan matrikulasi, diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta kelulusan yang setara terpaksa mencari laluan alternatif.
Justeru, bagi mereka yang telah berjaya menempatkan diri di IPTA, peluang ini adalah anugerah yang tidak ternilai.
Malangnya, ada dalam kalangan mahasiswa yang akhirnya gagal di pertengahan jalan kerana hilang fokus, dibelenggu masalah peribadi atau tidak mampu mengurus tekanan hidup.
Situasi ini amat merugikan kerana ruang yang sepatutnya diisi dengan kesungguhan telah disia-siakan, sedangkan masih ramai remaja lain menanti peluang yang sama.
Pendidikan tinggi, anugerah yang tidak wajar dipersia
Ramai mahasiswa beranggapan bahawa kejayaan pasti hadir sebaik sahaja mereka diterima masuk ke universiti.
Hakikatnya, kemasukan ke IPTA hanyalah langkah awal dalam perjalanan yang panjang. Kejayaan akademik hanya dapat dicapai melalui disiplin, fokus dan usaha berterusan.
Mahasiswa disaran meletakkan matlamat yang jelas sejak awal pengajian iaitu sama ada ingin memperoleh Kepujian Kelas Pertama, menyertai penyelidikan atau mempersiapkan diri untuk pasaran kerja.
Dengan perancangan teratur, mahasiswa lebih mudah mengekalkan motivasi sepanjang tempoh pengajian.
Pengurusan masa juga tidak boleh dipandang ringan. Kehadiran ke kuliah, menyiapkan tugasan mengikut jadual dan mengulang kaji secara konsisten akan membantu mengelakkan budaya bertangguh.
Pendidikan tinggi menuntut kematangan dan setiap mahasiswa perlu menganggapnya sebagai latihan awal untuk dunia pekerjaan yang penuh cabaran.
Tanggungjawab urus kewangan dan bantuan yang ada
Antara punca utama pelajar kecundang di IPTA adalah masalah kewangan.
Ramai yang terpaksa bekerja sambilan secara berlebihan sehingga menjejaskan akademik manakala ada pula yang putus asa kerana tidak mampu menanggung kos sara hidup.
Sebenarnya, kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan. Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), biasiswa persekutuan, dermasiswa negeri, bantuan zakat dan NGO semuanya boleh dimohon mengikut kelayakan.
Usaha awal untuk mendapatkan bantuan ini akan mengurangkan tekanan kewangan dan membolehkan mahasiswa memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian.
Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan langkah yang progresif. Misalnya, cadangan kerajaan Sabah untuk menawarkan pendidikan percuma di IPT milik negeri adalah contoh terbaik bagaimana halangan kewangan boleh dikurangkan.
Langkah sebegini wajar diperluas ke negeri lain supaya lebih ramai anak muda dapat menikmati pendidikan tinggi tanpa terbeban dengan kos yang tinggi.
Pentingnya sokongan IPTA dan komuniti
Mahasiswa tidak boleh dibiarkan berjuang sendirian. IPTA perlu menyediakan sistem sokongan yang menyeluruh merangkumi kaunseling akademik, bimbingan emosi serta program mentor-mentee bersama pensyarah dan alumni.
Inisiatif seperti kelas ulang kaji, bengkel kemahiran belajar dan kumpulan sokongan akademik mampu membantu pelajar menyesuaikan diri dengan cabaran universiti.
Keluarga pula berperanan sebagai tiang sokongan moral. Dorongan daripada ibu bapa dan adik-beradik sering kali menjadi sumber kekuatan bagi mahasiswa yang berada jauh di perantauan.
Komuniti tempatan dan media juga wajar memainkan peranan dalam membina budaya menghargai pendidikan.
Kisah-kisah kejayaan pelajar daripada keluarga sederhana yang berjaya menamatkan pengajian boleh dijadikan inspirasi dan suntikan semangat kepada generasi muda.
Harungi cabaran dengan tekad dan berdaya tahan
Punca mahasiswa gagal dalam pengajian sering kali bukan kerana tidak bijak, tetapi kerana gagal mengawal tekanan emosi dan cabaran hidup.
Kesunyian, masalah hubungan berpasangan, kekangan kewangan dan cabaran menyesuaikan diri dengan budaya universiti boleh menyebabkan mereka hilang arah.
Untuk itu, mahasiswa digalakkan mengamalkan gaya hidup seimbang. Menyertai aktiviti kokurikulum boleh membantu membina jaringan sosial dan kemahiran insaniah, tetapi ia tidak boleh mengatasi kepentingan akademik.
Mengambil bahagian dalam kumpulan belajar, menghadiri ceramah motivasi dan berani mendapatkan khidmat kaunseling jika perlu adalah langkah bijak bagi mengelakkan rasa terasing dan putus asa.
Malah, menjaga kesihatan fizikal dan mental harus menjadi keutamaan.
Tidur yang cukup, pemakanan sihat serta aktiviti rekreasi boleh meningkatkan daya tahan minda dalam menghadapi cabaran akademik.
Usah putus asa jika belum berjaya
Tidak semua yang memohon ke IPTA diterima, tetapi itu bukan pengakhiran sebuah perjalanan. Laluan lain seperti politeknik, kolej komuniti, IPTS, kursus matrikulasi, diploma atau program pra-universiti tetap terbuka.
Malah, kursus pendek dalam talian (MOOC) kini menjadi platform tambahan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.
Sistem rayuan, peluang pemindahan kredit dan pengambilan khas oleh universiti juga memberi ruang kepada mereka yang benar-benar berusaha.
Apa yang penting ialah tidak berputus asa. Kegagalan kali pertama harus dijadikan batu loncatan untuk bangkit lebih kuat pada masa hadapan.
Sikap resilient atau berdaya tahan iaitu tidak mudah mengalah walaupun berdepan halangan adalah merupakan kunci kejayaan.
Ramai tokoh berjaya bermula dengan kegagalan, tetapi dengan semangat pantang menyerah, mereka akhirnya menamatkan pengajian dan membina kerjaya yang gemilang.
Justeru itu, pendidikan tinggi adalah jambatan kepada masa depan individu dan negara.
Mahasiswa yang mendapat peluang ke IPTA harus menyedari bahawa kejayaan tidak hadir tanpa usaha. Jangan sia-siakan peluang yang telah diberikan dengan sikap sambil lewa atau hilang fokus.
Ingatlah, di luar sana masih ramai remaja yang mengimpikan peluang untuk menjejakkan kaki ke universiti.
Oleh itu, gunakanlah peluang yang ada dengan penuh tanggungjawab, disiplin dan kesungguhan.
Hanya dengan cara ini mahasiswa bukan sahaja dapat mengubah masa depan diri sendiri, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Peluang emas di IPTA adalah amanah. Hargailah ia, kerana tidak semua orang berpeluang memilikinya.
Maklumat penulis:
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Anim Zalina Azizan
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my