Kemampanan Kampung Budaya Mah Meri: Warisan bernilai tinggi

Iklan
Kampung Budaya Mah Meri di Kampung Sungai Bumbun sering menjadi tarikan pelancong, khususnya bagi mereka yang meminati pelancongan berasaskan komuniti. (Gambar kecil: Mohd Hafiz)

Pulau Carey, Selangor bukan sahaja dikenali kerana keindahan semulajadinya tetapi juga terkenal sebagai penempatan Masyarakat Orang Asli Mah Meri.

Masyarakat ini, yang merupakan sebahagian daripada 18 suku kaum Orang Asli dalam kategori Senoi, mengekalkan warisan budaya yang unik dan kaya dengan nilai estetika serta spiritual.

Kampung Budaya Mah Meri di Kampung Sungai Bumbun sering menjadi tarikan pelancong, khususnya bagi mereka yang meminati pelancongan berasaskan komuniti.

Di sini, pelawat bukan sekadar menyaksikan persembahan budaya tetapi berpeluang terlibat langsung dalam aktiviti tradisional seperti ukiran kayu dan anyaman daun nipah yang diiktiraf UNESCO sebagai warisan bernilai tinggi.

Iklan
Iklan

Hari Moyang, yang disambut setiap tahun, merupakan satu manifestasi spiritual masyarakat ini, di mana pelbagai ritual animisme diamalkan untuk menghormati roh nenek moyang.

Acara ini turut mengetengahkan persembahan tarian Jo-oh, muzik gong dan gendang, serta pameran ukiran kayu yang rumit. Ini menjadikan Kampung Budaya Mah Meri destinasi unik yang mampu menawarkan pengalaman budaya yang autentik dan mendalam kepada pelancong.

Kejayaan perkampungan ini sebagai model pelancongan budaya berasaskan komuniti bergantung kepada keseimbangan antara pemeliharaan budaya dengan pembangunan ekonomi.

Ini akan membolehkan Kampung Budaya Mah Meri muncul sebagai ikon pelancongan warisan yang mampan dan menjadi contoh kepada komuniti lain di Malaysia.

Iklan

Walau bagaimanapun, dalam menikmati manfaat ekonomi daripada pelancongan budaya, Masyarakat Orang Asli Mah Meri menghadapi cabaran untuk mengekalkan keaslian budaya mereka di arus perdana.

Mereka berhadapan dengan ancaman pengusiran akibat projek pembangunan pelancongan mewah yang dirancang di kawasan tersebut. Ini menimbulkan kebimbangan mengenai kehilangan tanah adat yang telah didiami selama lebih 500 tahun.

Ancaman pengkomersilan budaya yang berlebihan juga telah mendatangkan kesan negatif kepada seni dan budaya yang dipraktis mereka.

Tekanan permintaan pelancongan yang tidak terkawal dan pengaruh modenisasi turut mengancam kelestarian budaya ini, terutamanya di kalangan generasi muda yang semakin tertarik dengan gaya hidup moden.

Iklan

Usaha melindungi warisan ini memerlukan pendekatan strategik yang melibatkan kerajaan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO). Sokongan kerajaan penting dalam pembangunan infrastruktur dan pelaksanaan dasar pemeliharaan warisan.

Pada masa sama, penglibatan aktif masyarakat Mah Meri dalam merancang dan menguruskan aktiviti pelancongan amat kritikal bagi memastikan manfaat sosio-ekonomi dinikmati sepenuhnya oleh komuniti.

Selain itu, adalah kritikal untuk pihak kerajaan untuk mengkoordinasi dokumentasi nilai kebudayaan mereka secara sistematik dalam bentuk media visual, buku dan muzium mampu memastikan kelangsungan warisan budaya Mah Meri untuk generasi akan datang.

Selain itu, sistem pendidikan yang mengintegrasikan warisan budaya dalam kurikulum sekolah boleh memperkukuh pemahaman Masyarakat Malaysia terhadap budaya dan cara hidup Mah Meri.

Masyarakat Orang Asli Mah Meri mampu menjadi model pelancongan yang lestari dengan mengekalkan identiti budaya mereka sambil menikmati faedah ekonomi yang mampan.

Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan RM1 juta dalam Belanjawan 2025 untuk Kampung Budaya Mah Meri di Pulau Carey. Dana ini bertujuan memperbaiki keadaan hidup, membaik pulih rumah, dan menaik taraf kemudahan di tapak budaya tersebut. ​

Dengan komitmen semua pihak berkepentingan, Kampung Budaya Mah Meri boleh terus subur sebagai tapak warisan budaya yang dihormati di peringkat nasional dan antarabangsa.

Maklumat penulis:

1) Timbalan Rektor Universiti Teknologi MARA cawangan Selangor, Profesor Dr Mohd Hafiz Hanafiah